Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Dr Zulkifli Hasan.
Sebarang perbincangan mengenai penggunaan lafaz seperti “syukur” dan “Alhamdulillah” oleh bukan Islam perlu dirujuk kepada pihak berkuasa agama bagi mengelakkan kekeliruan dalam masyarakat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Zulkifli Hasan berkata pandangan Jabatan Mufti yang berasaskan al-Quran, sunah dan pandangan ulama perlu dijadikan rujukan utama kerajaan dalam menangani isu sensitif berkaitan agama.
“Kita merujuk kepada pihak autoriti yang arif dan berkelayakan. Jadi kita menerima nasihat daripada Jabatan Mufti,” katanya selepas menyertai program MAIWP Run 2026 di Dataran Putrajaya.
Beliau mengulas isu penggunaan kalimah “Alhamdulillah” dan “syukur” yang dibangkitkan Ahli Parlimen pembangkang terhadap Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming di Dewan Rakyat baru-baru ini.
Menurut Zulkifli, terlalu banyak pandangan yang dikeluarkan secara terbuka boleh menimbulkan kekeliruan, sedangkan perkara berkaitan Islam perlu ditangani secara berhikmah dan berpandukan autoriti sah.
“Sekarang ini terlalu ramai yang bercakap dan memberi pandangan. Tetapi kita ada autoriti, maka kita serahkan sepenuhnya kepada pihak autoriti,” katanya.
Sebelum ini, Mufti Wilayah Persekutuan, Ahmad Fauwaz Fadzil dilaporkan berkata penggunaan lafaz yang sinonim dengan umat Islam seperti “Alhamdulillah” oleh bukan Islam tanpa unsur penghinaan atau mempermainkan agama adalah diharuskan oleh ulama.
Menurutnya, perkara itu perlu dilihat dalam konteks perbahasan ulama yang lebih luas dan bukan menyasarkan mana-mana pihak tertentu.
“Penggunaan tanpa unsur penghinaan adalah diharuskan kerana ia membawa kebaikan,” katanya.
Isu penggunaan istilah berkaitan Islam sering menjadi perbincangan di Malaysia yang mempunyai masyarakat berbilang agama dan kaum.
Dalam beberapa kes sebelum ini, perdebatan berkaitan istilah keagamaan mencetuskan polemik awam dan perbahasan politik.
Zulkifli menegaskan pandangan Jabatan Mufti dibuat secara adil bagi memastikan keharmonian masyarakat terus terpelihara.
“Jabatan Mufti melihat isu ini dari sudut yang paling wajar dan terbaik demi keharmonian masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
Amaran kecemasan dikeluarkan di tujuh kawasan Saudi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum