Rafizi Ramli.
Seramai 10 Ahli Parlimen PKR memberi bayangan mungkin menolak atau berkecuali dalam undian Rang Undang-Undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) (No.2) 2026 jika semua cadangan penambahbaikan tidak dipertimbangkan kerajaan.
Ahli Parlimen Pandan, Mohd Rafizi Ramli berkata keputusan muktamad hanya akan dibuat selepas mesyuarat Jemaah Menteri pada Jumaat ini, selain mengambil kira pandangan wakil rakyat daripada Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).
“Kalau kerajaan berkeras juga menolak semua cadangan, kami perlu membuat keputusan. RUU ini memerlukan majoriti dua pertiga, jadi kerajaan perlu mempertimbangkan sebaik-baiknya.
“Perkara terakhir yang kerajaan mahukan ialah jangan memaksa kami ke sudut yang tersepit,” katanya pada sidang media di Parlimen.
RUU berkenaan dibentangkan bagi memisahkan peranan Pendakwa Raya daripada Peguam Negara, satu janji reformasi institusi yang sudah dibawa sejak manifesto PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 pada 2018.
Pindaan itu antara lain bertujuan memperkukuh kebebasan Pendakwa Raya melalui jaminan perlembagaan serta mengubah mekanisme pelantikan dan pemecatan jawatan berkenaan.
Cadangan semasa memperuntukkan Perdana Menteri tidak lagi mempunyai peranan dalam pelantikan Pendakwa Raya. Sebaliknya, pelantikan dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas perakuan Suruhanjaya Perkhidmatan Kehakiman dan Perundangan serta diperkenankan Majlis Raja-Raja.
Namun Rafizi menegaskan RUU itu wajar dirujuk kepada Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen bagi mendapatkan pandangan rentas parti dan memperkemas cadangan pindaan.
Beliau turut mencadangkan proses pelantikan Pendakwa Raya perlu melalui prosiding pengesahan dan undian di Dewan Rakyat sebelum diperkenan Agong.
“Fungsi Parlimen juga perlu dimasukkan dalam proses pemecatan Pendakwa Raya, termasuk mekanisme usul memulakan tribunal dengan sokongan dua pertiga,” katanya.
Menurut beliau, tempoh lantikan tujuh tahun juga terlalu panjang dan wajar dipendekkan kepada empat tahun supaya tidak mewujudkan kuasa yang terlalu besar merentasi beberapa pentadbiran.
Katanya, 10 Ahli Parlimen terbabit bukan jumlah kecil kerana mewakili kira-kira satu pertiga daripada keseluruhan 31 wakil PKR di Dewan Rakyat.
“Kalau setiap parti ada pandangan berbeza, bukan mudah untuk kerajaan dapat dua pertiga. Kerajaan tidak rugi untuk memperkemas RUU ini supaya semua boleh sokong,” katanya.
Kenyataan tiga sayap hanya pandangan, pendirian parti kekal sokong kerajaan NS: Zahid
UMNO berpendirian sebarang program hiburan perlu ada batas: Zahid
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan