Kes mahkamah.
Kerajaan berjaya dalam rayuan di Mahkamah Rayuan hari ini apabila mahkamah membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi yang sebelum ini mengarahkan pelarasan pencen pesara penjawat awam berdasarkan Pekeliling Perkhidmatan 2016.
Keputusan itu sekali gus mengelakkan kerajaan daripada membayar tunggakan kira-kira RM1.7 bilion kepada lebih 500,000 pesara.
Panel tiga hakim yang dipengerusikan oleh Hakim Lim Chong Fong bersama Hakim Azhahari Kamal Ramli dan Hakim Meor Hashimi Abdul Hamid membuat keputusan sebulat suara memihak kepada kerajaan.
Dalam penghakimannya, Azhahari berkata permohonan semakan kehakiman yang difailkan oleh Aminah Ahmad bersama 56 pesara lain tidak boleh diteruskan kerana perkara itu telah diputuskan sebelum ini oleh Mahkamah Rayuan pada 2022.
“Permohonan ini adalah res judicata kerana isu yang sama telah diputuskan sebelum ini. Oleh itu, ia merupakan penyalahgunaan proses mahkamah,” katanya ketika membacakan keputusan.
Bagaimanapun, mahkamah menjelaskan keputusan tersebut hanya terpakai kepada 57 responden yang terlibat dalam kes berkenaan.
Kes ini berpunca daripada pindaan terhadap Akta Penyelarasan Pencen 1980 yang dibuat pada 2013, yang memperkenalkan kenaikan pencen tahunan tetap sebanyak dua peratus kepada pesara.
Pada 2022, Mahkamah Rayuan memutuskan pindaan tersebut tidak berperlembagaan kerana meletakkan pesara dalam kedudukan kurang memihak berbanding penjawat awam yang masih berkhidmat.
Berikutan keputusan itu, Aminah, seorang bekas pegawai Kementerian Luar Negeri bersama pesara lain memfailkan semakan kehakiman bagi memohon mahkamah mengarahkan kerajaan menyelaraskan pencen mereka mengikut formula sebelum 2013.
Formula lama itu membolehkan pencen pesara disemak semula selaras dengan pelarasan gaji penjawat awam yang masih berkhidmat.
Pada Januari 2023, Mahkamah Tinggi memihak kepada pesara terbabit dan mengarahkan kerajaan melaksanakan pelarasan pencen tersebut, namun perintah itu digantung sementara menunggu rayuan.
Dalam hujahan kerajaan, Peguam Kanan Persekutuan Ahmad Hanir Hambaly berkata Pekeliling Perkhidmatan PP 1/2016 hanyalah penambahbaikan skim perkhidmatan awam dan bukannya semakan gaji yang mewajibkan pelarasan pencen.
Mahkamah Rayuan bersetuju dengan hujahan itu dan turut menyatakan Aminah gagal membuktikan beliau mengalami kerugian akibat pindaan pada 2013.
Sementara itu, peguam Baljit Singh Sidhu yang mewakili pesara berkata pihaknya akan memohon kebenaran untuk membawa kes itu ke Mahkamah Persekutuan.
“Kami telah menerima arahan untuk memfailkan permohonan rayuan,” katanya.
Kes bunuh 61 tikaman: Mangsa baharu seminggu sambung semester baharu
Global Sumud Flotilla: 10 rakyat Malaysia sudah dibebaskan
Kes bunuh 61 tikaman: Empat individu direman Polis Kelantan
Kesan krisis bekalan global dijangka dirasai sebulan dua lagi: Tengku Zafrul
Majikan diseru lebih prihatin terhadap pekerja: PMX
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan