Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin.
Kenyataan Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai perkembangan ekonomi global tidak wajar dipandang ringan kerana ia memberi isyarat awal tentang cabaran yang mungkin dihadapi negara.
Ketua Penerangan Angkatan Muda Keadilan (AMK), Danish Hairudin berkata, terdapat pihak yang cuba memperlekeh kenyataan tersebut seolah-olah ia perkara kecil, sedangkan dalam keadaan geopolitik dunia yang semakin tidak menentu, setiap amaran awal daripada kerajaan adalah penting.
“Dalam situasi global yang rapuh ketika ini, sebarang isyarat ekonomi daripada kerajaan tidak boleh dipandang remeh kerana ia memberi gambaran awal tentang langkah persediaan negara,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook pada Rabu.
Menurut Danish, ketegangan yang semakin memuncak antara Iran dan Amerika Syarikat telah menggoncang pasaran tenaga dunia dan memberi kesan langsung kepada harga minyak mentah global.
Beliau berkata, harga minyak mentah Brent pernah melonjak melepasi paras AS$100 setong dan penganalisis turut memberi amaran ia berpotensi mencecah sehingga AS$150 setong sekiranya gangguan bekalan berterusan.
Keadaan itu, jelasnya, menjadi lebih membimbangkan apabila konflik tersebut turut memberi tekanan kepada laluan strategik seperti Selat Hormuz yang mengendalikan hampir 20 peratus perdagangan minyak dunia.
“Sekiranya laluan ini terjejas, ia boleh mencetuskan krisis tenaga global yang memberi kesan kepada banyak negara termasuk Malaysia,” katanya.
Tambah beliau, Malaysia tidak kebal daripada kejutan harga tenaga dunia kerana peningkatan mendadak harga minyak boleh memberi tekanan kepada inflasi, nilai mata wang dan kos sara hidup rakyat.
“Kerajaan yang bertanggungjawab perlu membuat persediaan lebih awal, termasuk dari segi fiskal, pengurusan subsidi bahan api dan langkah menstabilkan ekonomi,” ujarnya.
Menurut Danish, kenyataan Anwar mungkin kelihatan ringkas, namun mesejnya jelas kerajaan sedang memberi amaran awal serta meneliti langkah bagi menghadapi ketidaktentuan ekonomi global.
Beliau turut menyifatkan tindakan sesetengah pihak yang mempersendakan kenyataan tersebut sebagai tidak wajar.
“Mungkin kerana mereka tidak memahami bahawa dalam pengurusan ekonomi negara, isyarat kecil hari ini boleh menentukan kestabilan besar pada masa hadapan,” katanya.
Konsert Air di Melaka tanpa DJ, Akmal gesa program di Bukit Bintang dihentikan
Puad bidas DAP takut bubar DUN Negeri Sembilan
Rundingan jadi kunci redakan isu BN-PH di Negeri Sembilan: Zahid
Zahid tolak langkah ‘tebuk atap’ di Negeri Sembilan: Loke
Sayap pemuda DAP desak pecat Tok Mat, dakwa jejaskan kestabilan kerajaan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan