Khairy Jamaluddin.
Bekas Ketua Pemuda UMNO Khairy Jamaluddin menyerahkan sepenuhnya kepada pucuk pimpinan parti untuk menentukan sama ada beliau diterima semula ke dalam UMNO selepas menghantar permohonan rasmi baru-baru ini.
Menurut Khairy, surat permohonan itu telah dihantar pada 16 Mac lalu, namun memilih untuk tidak mendahului sebarang keputusan yang bakal dibuat oleh kepimpinan tertinggi parti.
“Saya sudah hantar surat permohonan, tetapi sama ada diterima atau tidak, saya serahkan sepenuhnya kepada UMNO untuk putuskan,” katanya dipetik laporan media.
Pada masa sama, perkembangan berkaitan permohonan beberapa bekas pemimpin UMNO, termasuk Khairy dan Hishammuddin Hussein, dijangka dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti pada 17 April ini.
Naib Presiden UMNO Mohamed Khaled Nordin, memaklumkan perbincangan akan dibuat berasaskan semangat “Rumah Bangsa”, satu pendekatan untuk memperkukuh perpaduan dalam parti. Bagaimanapun, beliau tidak dapat memastikan sama ada keputusan muktamad akan dicapai dalam mesyuarat tersebut.
“Kita akan bincangkan permohonan ini dengan semangat penyatuan, tetapi keputusan sama ada diluluskan atau tidak bergantung kepada pertimbangan MKT,” katanya.
Untuk rekod, Khairy merupakan antara beberapa pemimpin UMNO yang dikenakan tindakan disiplin susulan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau dipecat daripada parti pada Januari 2023, manakala beberapa pemimpin lain seperti Hishammuddin Hussein, Shahril Sufian Hamdan, Mohd Salim Sharif dan Maulizan Bujang digantung keahlian selama enam tahun.
Tindakan tersebut dibuat oleh Majlis Tertinggi UMNO atas alasan pelanggaran disiplin parti ketika pilihan raya berkenaan.
Darurat bukan jalan tangguh PRN, bercanggah amalan demokrasi: Hassan Karim
RM5 juta masuk akaun Bersatu, tiada satu masuk dalam akaun peribadi: Saksi
Runding kerusi parti komponen PH mesti ikut saluran rasmi: Saifuddin Nasution
Ketua Bersatu Pahang ditamatkan khidmat, didakwa sokong Hamzah
Ganti Ketua Pembangkang baharu perlu perbincangan menyeluruh: Hadi
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan