Setiausaha Agung Parti Amanah, Muhammad Faiz Fadzil.
Parti Amanah menegur Ketua Pemuda UMNO, Dr Akmal Salleh, agar tidak terpengaruh dengan naratif pembangkang berhubung isu harga minyak yang didakwa mengelirukan rakyat.
Setiausaha Agung Amanah Muhammad Faiz Fadzil berkata, beberapa kenyataan pemimpin pembangkang termasuk Abdul Hadi Awang dan Ahmad Fadhli Shaari tidak menggambarkan keadaan sebenar, khususnya ketika kerajaan sedang menangani ketidaktentuan harga minyak mentah global.
Menurut beliau, dakwaan harga minyak tempatan tidak menurun selari dengan pasaran dunia adalah tidak tepat kerana Malaysia menggunakan Mekanisme Harga Automatik (APM), yang menetapkan harga berdasarkan purata mingguan.
“Walaupun terdapat sedikit sela masa, rakyat tetap menikmati manfaat penurunan harga. Sistem APM juga melindungi pengguna dan pengusaha daripada perubahan mendadak,” katanya dalam kenyataan.
Isu ini timbul selepas Akmal dilaporkan mempersoalkan mengapa Thailand mampu menurunkan harga petrol dan diesel dengan lebih cepat berbanding Malaysia.
Mengulas perkara itu, Muhammad Faiz menjelaskan langkah Thailand dibuat melalui pelarasan semula formula harga yang sebelum ini mungkin lebih tinggi daripada kos sebenar.
Beliau menegaskan, perbandingan tersebut tidak mengambil kira perbezaan struktur harga dan faktor ekonomi antara kedua-dua negara.
Pada masa sama, Amanah turut menyentuh kritikan berkaitan harga diesel di Sabah dan Sarawak.
Jelasnya, faktor geografi serta kekangan infrastruktur menjadikan penggunaan diesel sebagai keperluan asas di Malaysia Timur.
Malaysia masih mengekalkan pelbagai bentuk subsidi bahan api bagi melindungi golongan tertentu, termasuk nelayan yang menikmati harga diesel bersubsidi RM1.65 seliter.
Kerajaan juga melaksanakan bantuan bersasar seperti program BUDI untuk meringankan kos sara hidup.
Muhammad Faiz menambah, pendekatan kerajaan di bawah pimpinan Anwar Ibrahim menunjukkan keseimbangan antara kebajikan rakyat dan disiplin fiskal.
“Kerajaan tidak mengapungkan sepenuhnya harga diesel walaupun berdepan tekanan global, malah menyerap sebahagian kos pasaran. Ini memastikan harga kekal kompetitif berbanding negara serantau,” katanya.
Padan muka MCA hanya diberi dua kerusi di Melaka: PKR
Bersatu bimbang mesyuarat khas MT PN berdepan risiko undang-undang
PRN Melaka: Adam Adli yakin calon baharu PKR mampu buat kejutan
Aziz Bari: PAS parti politik, bukan agama
PRN Melaka: PKR tawar 30 peratus calon wanita
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum