Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Pendekatan diplomasi berasaskan kepercayaan antara Malaysia dan negara Asia Barat membantu meredakan ketegangan berkaitan laluan kapal di Selat Hormuz, sekali gus memastikan kepentingan negara terus terpelihara.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, hubungan baik yang dibina sekian lama membolehkan Malaysia berhubung secara terus dengan kepimpinan Iran, termasuk Masoud Pezeshkian, bagi menyelesaikan isu kapal komersial tempatan yang terkandas di laluan strategik itu.
“Dalam perbualan saya dengan Presiden Iran, saya maklumkan beberapa kapal utama kita tersekat dan ini akan menimbulkan kesukaran. Beliau segera memberi arahan supaya perkara itu ditangani dan memberi jaminan tindakan akan diambil segera,” katanya semasa sesi perbincangan bersama Perdana Menteri pada Dialog Kuala Lumpur-Ankara 2026 hari ini.
Selat Hormuz merupakan laluan perdagangan penting dunia yang menghubungkan Teluk Parsi dengan Lautan Hindi, dan sering menjadi titik panas geopolitik terutama ketika konflik melibatkan kuasa besar seperti Amerika Syarikat dan Israel dengan Iran.
Ketegangan terbaru di rantau itu menyaksikan sekatan pergerakan kapal oleh Iran sebagai tindak balas terhadap serangan yang didakwa dilakukan oleh kedua-dua negara berkenaan.
Menurut Anwar, keupayaan Malaysia menyuarakan kebimbangan secara langsung kepada Iran hanya dapat dicapai melalui hubungan yang kukuh dan saling percaya.
Namun, beliau menegaskan bahawa penyelesaian jangka panjang tetap memerlukan peranan komuniti antarabangsa.
“Saya juga memahami pendirian Iran, sebab itu kita tidak menyokong sepenuhnya gesaan membuka laluan tanpa mengambil kira situasi di Asia Barat,” katanya lagi.
Perkembangan itu hadir selepas Kementerian Luar mengesahkan salah satu daripada tujuh kapal Malaysia yang sebelum ini terkandas telah diberikan laluan selamat dan kini dalam perjalanan ke destinasi.
Pada masa sama, Anwar berkata Malaysia mengambil pendekatan seimbang dengan mengambil kira kebimbangan negara Teluk seperti Qatar, Emiriah Arab Bersatu dan Arab Saudi, selain mengecam tindakan agresif Israel yang disokong Amerika Syarikat.
“Kita tidak boleh melihat satu sisi sahaja. Pendirian Malaysia jelas dan konsisten, walaupun berdepan risiko sebagai negara kecil,” katanya.
Global Sumud Flotilla: Nasib 10 aktivis Malaysia masih belum diketahui
Ebit Lew diperintah bela diri kes gangguan seksual
Kapal bantuan Gaza dipintas, Malaysia kecam tindakan tentera Zionis: Fahmi
Kerajaan usaha bebaskan aktivis GSF, PMX rayu keluarga terus kuat
Pengesahan identiti pengguna: Penyedia platform media sosial beri kerjasama positif
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan