Isu politik Negeri Sembilan.
Anwar Ibrahim menegaskan tiada perubahan dalam kepimpinan kerajaan Negeri Sembilan, dengan jawatan Menteri Besar kekal disandang oleh Aminuddin Harun walaupun berlaku kemelut politik melibatkan penarikan sokongan oleh 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO.
Menurut Perdana Menteri, semua pihak diminta bertenang dan menghormati titah Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang mahu Aminuddin terus menjalankan tugas mentadbir negeri seperti biasa.
“Keadaan di Negeri Sembilan biar ditenangkan dahulu. Isu yang timbul perlu diselesaikan mengikut Perlembagaan negeri.
“Buat masa ini, kita ikut titah supaya Menteri Besar teruskan tugas mentadbir negeri, lebih-lebih lagi dalam suasana ekonomi yang mencabar,” katanya kepada pemberita selepas menunaikan solat Jumaat di Masjid Nurul Iman, di sini.
Anwar turut mengingatkan agar semua pihak tidak tergesa-gesa mencetuskan perebutan kuasa, sebaliknya memberi ruang untuk rundingan dilakukan secara berhemah.
“Kita boleh berunding, tetapi sekarang jangan gugat usaha memulihkan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat. Itu lebih utama,” ujarnya.
Krisis politik di Negeri Sembilan tercetus susulan tindakan sekumpulan ADUN UMNO yang menarik sokongan terhadap kepimpinan sedia ada, sekali gus menimbulkan spekulasi kemungkinan berlaku perubahan pentadbiran negeri.
Namun, setakat ini, kedudukan kerajaan negeri masih kekal.
Untuk rekod, Aminuddin menerajui pentadbiran Negeri Sembilan sejak 2018 selepas kemenangan Pakatan Harapan dalam pilihan raya umum, dan terus memegang jawatan tersebut selepas pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan.
Situasi semasa dijangka terus dipantau rapat, dengan sebarang keputusan lanjut bergantung kepada perkembangan politik serta proses perundangan negeri.
Onn Hafiz nafi dakwaan Puad, UMNO Johor buat laporan polis
PRN Johor: Agihan kerusi, isu logo BN jadi punca rundingan UMNO-PAS buntu
“Onn Hafiz pak turut, UMNO Johor boneka terikat,” Puad umum keluar UMNO
Mat Sabu hanya suarakan pandangan, bukan sindir sesiapa: Anwar
Pemuda MCA bidas DAPSY, dakwa tidak faham struktur pentadbiran FELDA
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar