UMNO bekerjasama dengan Pakatan Harapan untuk membentuk kerajaan sebelum ini.
Kepimpinan tertinggi Pakatan Harapan (PH) dan UMNO dijadual mengadakan pertemuan penting malam ini bagi membincangkan isu semasa politik termasuk kemungkinan Pilihan Raya Negeri (PRN) serta kemelut pentadbiran di Negeri Sembilan.
Menurut laporan BH yang memetik sumber dalaman, mesyuarat dijangka bermula jam 8 malam itu akan berlangsung di Kompleks Sri Perdana, Putrajaya dan dipengerusikan bersama oleh Pengerusi PH Anwar Ibrahim dan Presiden UMNO Ahmad Zahid Hamidi.
Sumber berkenaan memaklumkan, antara perkara utama yang akan disentuh ialah situasi politik di Negeri Sembilan susulan tindakan beberapa Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang dilaporkan menarik sokongan terhadap Menteri Besar Aminuddin Harun.
“Isu Negeri Sembilan dan beberapa perkara lain termasuk hal-hal PRN akan dibincangkan,” katanya menurut laporan itu.
Mengulas kemungkinan berlaku perubahan kepimpinan negeri itu, sumber berkenaan menjelaskan perkara tersebut bergantung kepada hasil rundingan semua pihak dalam mesyuarat berkenaan.
Selain itu, perbincangan turut dijangka memfokuskan strategi menghadapi PRN di beberapa negeri yang dijangka berlangsung dalam masa terdekat, termasuk soal kerjasama antara parti dan agihan kerusi.
“Soal kerjasama dan pembahagian kerusi bagi PRN juga antara agenda utama malam ini,” katanya.
Pertemuan ini dilihat penting dalam konteks kestabilan Kerajaan Perpaduan yang dibentuk selepas Pilihan Raya Umum ke-15, dengan PH dan Barisan Nasional kini bekerjasama dalam pentadbiran kerajaan di peringkat Persekutuan dan beberapa negeri.
Perkembangan ini berlaku ketika spekulasi mengenai PRN mengejut semakin hangat diperkatakan, khususnya di Negeri Sembilan, Melaka dan Johor.
Terdahulu, Setiausaha Agung DAP Anthony Loke, dilaporkan mengarahkan jentera parti bersiap siaga susulan ketidaktentuan politik semasa.
Beliau menyatakan langkah itu diambil selepas cubaan menjatuhkan kerajaan negeri di Negeri Sembilan gagal, sekali gus membuka kemungkinan berlakunya pilihan raya dalam masa terdekat.
Mesyuarat malam ini dijangka menjadi penentu kepada hala tuju kerjasama politik antara PH dan UMNO, selain memberi gambaran awal terhadap landskap politik negeri menjelang PRN.
Proses ambil keterangan Rafizi bersambung lagi pada hari ketiga: SPRM
PH-UMNO bertemu petang ini rungkai kemelut Negeri Sembilan: Saifuddin Nasution
UMNO sedia bertanding solo PRN Johor: UMNO Pasir Gudang
UMNO kekal bersama kerajaan Negeri Sembilan, tak jadi pembangkang: Zahid
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan