Baharudin Mohamed Taib
UMNO memberi bayangan bersedia bertanding secara solo dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor akan datang sekiranya tiada kerjasama politik yang memenuhi prinsip saling hormat.
Timbalan Ketua UMNO Bahagian Pasir Gudang, Baharudin Mohamed Taib berkata, parti itu kekal sebagai tunjang dalam Barisan Nasional (BN) dan tidak terikat sebagai komponen kepada mana-mana gabungan lain.
Menurutnya, UMNO mempunyai kebebasan untuk menentukan hala tuju politik sendiri.
“UMNO bebas untuk bergerak solo atau berpakat dengan mana-mana. Kalau nak bersama, tak perlu herdik atau fitnah. Bincang elok-elok, dan UMNO akan pilih rakan yang saling menghormati,” katanya ketika berucap dalam sidang Dewan Undangan Negeri Johor di Kota Iskandar.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Permas menegaskan, sekiranya tiada persefahaman dicapai dengan mana-mana pihak, UMNO tidak teragak-agak untuk bergerak sendiri.
“Jika tiada yang sesuai, UMNO sanggup bergerak solo daripada terus berada dalam keadaan tidak selesa,” ujarnya.
Pada masa sama, Baharudin menyentuh mengenai pembentukan Kerajaan Perpaduan di peringkat Persekutuan, yang menurutnya telah membantu menstabilkan pentadbiran negara selepas tempoh ketidaktentuan politik.
Malaysia sebelum ini menyaksikan beberapa pertukaran Perdana Menteri dalam satu penggal, sekali gus memberi kesan kepada kestabilan dan ekonomi negara.
“Pemimpin parti tidak mahu lagi situasi pertukaran Perdana Menteri berulang kerana ia menyusahkan rakyat. Sebab itu kerajaan perpaduan dibentuk,” katanya.
Namun beliau mengingatkan kerjasama antara UMNO dan Pakatan Harapan hanyalah bersifat sementara untuk membentuk kerajaan, bukan satu gabungan politik rasmi.
“Jangan lupa, UMNO bukan komponen Pakatan Harapan. Kerjasama ini hanya untuk memastikan kerajaan dapat dibentuk ketika tiada pihak memiliki majoriti mencukupi,” jelasnya.
Tambah beliau, meskipun berdepan pelbagai cabaran dan kritikan, Kerajaan Perpaduan diyakini mampu bertahan sehingga tamat penggal, sekali gus memberi ruang kepada kestabilan politik dan pemulihan negara.
Loke nafi tuduhan dana, sifatkan Chegubard buat fitnah besar
Proses ambil keterangan Rafizi bersambung lagi pada hari ketiga: SPRM
UMNO kekal bersama kerajaan Negeri Sembilan, tak jadi pembangkang: Zahid
PH dan UMNO bertemu malam ini bincang isu MB Negeri Sembilan: Laporan
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan