Farhash Wafa Salvador
Ahli perniagaan, Farhash Wafa Salvador tampil menafikan dakwaan serius yang mengaitkan dirinya dengan kegiatan mencuri dan pengubahan wang haram berjumlah berbilion ringgit di luar negara.
Penafian itu dibuat susulan laporan beberapa media serta penyebaran video yang mendakwa beliau terbabit dalam aktiviti tersebut, termasuk di Türkiye dan Afrika, selain kononnya telah memperoleh kewarganegaraan negara itu.
“Saya dengan tegas dan tanpa sebarang keraguan menafikan semua tuduhan tersebut. Dakwaan ini tidak benar, tidak berasas dan merupakan fitnah yang jelas bertujuan mencemarkan reputasi serta integriti saya,” katanya dalam satu kenyataan.
Beliau turut menegaskan dirinya bukan warga Türkiye dan tidak pernah memiliki sebarang akaun bank di negara berkenaan.
“Saya hanyalah seorang ahli perniagaan dan tidak terbabit dalam politik ketika ini. Saya tidak mengetahui mengapa saya dikaitkan dengan isu ini, melainkan ada pihak yang mempunyai kepentingan tertentu,” tambahnya.
Menurut Farhash, penyebaran video tersebut disifatkan sebagai tindakan tidak bertanggungjawab dan berpotensi melanggar undang-undang.
Sehubungan itu, beliau telah membuat laporan polis bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut peruntukan undang-undang, termasuk di bawah Seksyen 499 Kanun Keseksaan berkaitan fitnah.
“Saya akan memberi kerjasama penuh kepada pihak berkuasa dalam proses siasatan ini,” katanya.
Beliau juga memaklumkan peguamnya telah diarahkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap individu atau pihak yang terlibat dalam penyebaran dakwaan berkenaan.
Dalam pada itu, orang ramai diingatkan supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan.
Farhash menegaskan pentingnya memberi ruang kepada pihak berkuasa untuk menjalankan siasatan secara adil dan telus.
Empat kekosongan exco Negeri Sembilan masih belum diganti: Aminuddin
Wan Rosdy bidas balik kritikan Guan Eng kata UMNO tak boleh dipercayai
Kerajaan Negeri Sembilan kekal stabil, tiada sebarang perubahan: Fahmi
ADUN UMNO perlu patuh keputusan kerjasama Negeri Sembilan: Mat Maslan
Armada Bersatu desak penjelasan status kes RM169 juta Ismail Sabri
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan