Menteri Besar Negeri Sembilan, Aminuddin Harun.
Kerajaan Negeri Sembilan belum membuat keputusan untuk mengisi empat jawatan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) yang kosong selepas krisis sokongan melibatkan wakil UMNO baru-baru ini.
Menteri Besar Aminuddin Harun, berkata buat masa ini tugas portfolio berkenaan akan dipikul oleh enam Exco sedia ada sementara menunggu keputusan lanjut.
“Jawatan Exco yang kosong belum ada keputusan pengganti. Buat masa ini, semua tugasan akan diagihkan kepada EXCO sedia ada mengikut keperluan,” katanya selepas Mesyuarat Mingguan di Wisma Negeri.
Beliau menjelaskan kerajaan negeri sedang menyusun semula pembahagian tugas, termasuk menghadiri mesyuarat dan urusan rasmi di lapangan.
“Kami sedang senaraikan semua tanggungjawab dan akan bincangkan secara berperingkat dengan ahli mesyuarat lain. Pelantikan baharu ini memerlukan sedikit masa,” tambahnya.
Kekosongan tersebut berlaku susulan tindakan 14 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) UMNO yang menarik sokongan terhadap pentadbiran negeri sebelum ini, sekali gus memberi kesan kepada struktur Exco.
Empat portfolio yang terjejas sebelum ini melibatkan sektor penting seperti pembangunan desa dan pertanian, pendidikan dan modal insan, belia dan sukan, serta warisan dan teknologi.
Kedudukan ini sebelum ini dipegang oleh wakil UMNO dari ADUN Pertang, Senaling, Palong dan Linggi.
Dalam perkembangan berkaitan, Aminuddin memaklumkan tiada sebarang komunikasi diterima daripada ADUN UMNO selepas keputusan terbaru hasil perbincangan antara pimpinan UMNO dan Pakatan Harapan di peringkat pusat.
Mengulas mengenai sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditangguhkan, beliau berkata tarikh baharu masih belum ditetapkan.
“Kami sedang meneliti beberapa dokumen dan Rang Undang-Undang yang akan dibentangkan. Ada kemungkinan sidang itu akan diadakan serentak dengan pembentangan belanjawan negeri,” katanya.
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
PAS buat pusingan-U, Hadi umum Hamzah jadi Ketua Pembangkang bukan Samsuri
Hamzah umum parti baharu, tapi tidak letak jawatan seperti Rafizi
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi