Speaker Dewan Rakyat, Johari Abdul.
Semua Ahli Parlimen diminta mengemukakan laporan kesihatan masing-masing kepada pihak Parlimen selewat-lewatnya pada 30 Oktober bagi memastikan rekod perubatan setiap wakil rakyat sentiasa dikemas kini dan memudahkan tindakan ketika berlaku kecemasan.
Yang Dipertua Dewan Rakyat, Johari Abdul, berkata laporan kesihatan itu penting bagi membolehkan pihak Parlimen mempunyai maklumat awal mengenai tahap kesihatan setiap Ahli Parlimen, sekali gus mempercepatkan urusan rawatan sekiranya berlaku insiden yang memerlukan bantuan perubatan.
“Laporan kesihatan Yang Berhormat ini penting untuk kita ada di Parlimen, sebab kalau apa-apa jadi kepada Yang Berhormat, kita dah ada maklumat awal.
“Jadi kalau pun kita terpaksa menghantar Yang Berhormat ke hospital, maklumat yang ada pada kita itu terus kita hantar ke hospital,” katanya sebelum memulakan sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri (MQT) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau turut memaklumkan Ahli Parlimen tidak diwajibkan menjalani pemeriksaan kesihatan di Parlimen dan bebas mendapatkan pemeriksaan di mana-mana hospital atau klinik pilihan masing-masing.
Namun, laporan atau dokumen pemeriksaan kesihatan itu perlu diserahkan kepada doktor yang bertugas di Parlimen untuk tujuan rekod dan simpanan rasmi.
Langkah itu dilihat sebagai usaha memperkukuh aspek kebajikan serta keselamatan Ahli Parlimen, terutama ketika persidangan Dewan Rakyat yang lazimnya berlangsung dalam tempoh panjang dan melibatkan jadual kerja padat.
Pada 8 Julai lalu, Johari mengingatkan semua Ahli Parlimen supaya mengambil serius pemeriksaan kesihatan secara berkala selepas seorang wakil rakyat dilaporkan menerima rawatan di Institut Jantung Negara (IJN).
Gesaan itu dibuat susulan kebimbangan terhadap risiko masalah kesihatan dalam kalangan wakil rakyat, sekali gus mendorong pihak Parlimen memperkemaskan pengurusan rekod kesihatan bagi memastikan sebarang kecemasan dapat ditangani dengan lebih pantas dan berkesan.
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
Tarif AS tidak setinggi negara lain, rundingan akan tetap diteruskan: PMX
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS