Ahmad Maslan.
Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terlalu selesa dengan ramalan mampu memenangi sehingga 25 kerusi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka akan datang, sebaliknya perlu terus bekerja keras bagi memastikan sokongan pengundi.
Ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Ahmad Maslan berkata, jentera parti perlu berwaspada terhadap usaha membentuk persepsi negatif terhadap UMNO, khususnya dalam kalangan pengundi muda.
Beliau berkata, penjelasan berkesan perlu diberikan bagi memastikan pengundi tidak mudah terpengaruh dengan gambaran negatif yang dilemparkan terhadap parti itu.
“Kita khuatir jika penjelasan tidak diberikan dan kita hanya bersikap defensif, orang muda akan termakan dengan usaha melabel UMNO sebagai sebuah parti yang negatif.
“Jadi, saya berharap kepimpinan di Melaka tidak terlalu yakin,” katanya ketika ditemui pada program Jalinan Kasih Sekampung di Kampung Parit Kahar, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika mengulas ramalan bekas Ahli Parlimen Bangi, Dr Ong Kian Ming, yang menjangkakan BN berpotensi memenangi antara 24 hingga 25 daripada 28 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada PRN Melaka akan datang.
Pada PRN Melaka 2021, BN memenangi 21 kerusi, manakala Pakatan Harapan (PH) memperoleh lima kerusi dan Perikatan Nasional (PN) menang dua kerusi.
Keputusan itu menyaksikan BN memperoleh majoriti besar dalam DUN Melaka, sekali gus membolehkan gabungan berkenaan membentuk kerajaan negeri.
Bagaimanapun, Ahmad menegaskan jangkaan positif tidak seharusnya menyebabkan jentera parti mengurangkan usaha mendekati rakyat, sebaliknya perlu mempergiatkan penerangan dan meraih keyakinan pengundi.
Ahmad, yang juga Ketua Sekretariat War Room UMNO, berkata beliau sudah 14 kali turun ke Melaka bagi membantu persiapan parti, termasuk mengadakan program bersama masyarakat serta mengunjungi penduduk dari rumah ke rumah.
Menurutnya, usaha itu mencerminkan komitmennya membantu jentera BN menghadapi pilihan raya negeri berkenaan.
Beliau turut berharap kerjasama menerusi konsep negeri angkat dapat digerakkan segera bagi memperkukuh persiapan jentera pilihan raya.
Dalam perkembangan berkaitan, Pengerusi BN Melaka, Ab Rauf Yusoh pada Sabtu mengesahkan 28 Oktober ini sebagai tarikh pengumuman calon gabungan itu bagi menghadapi PRN Melaka.
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
Abu Bakar kekal MB Perlis walaupun digantung keahlian Bersatu: Laporan
Isu mafia korporat: NGO persoal motif serangan Rafizi
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum