Ahmad Maslan.
UMNO menegaskan parti itu terbuka menerima kemasukan mana-mana ahli atau pemimpin Parti Bersatu yang mahu menyertai semula parti berkenaan melalui inisiatif Rumah Bangsa, termasuk mereka yang pernah dikenakan tindakan disiplin.
Ahli Majlis Tertinggi UMNO, Ahmad Maslan berkata bagaimanapun perkara itu perlu mengambil kira kedudukan Akta Anti Lompat Parti, terutama melibatkan wakil rakyat yang masih memegang jawatan.
“Jika tiada halangan dalam Akta Lompat Parti untuk menyertai UMNO, silakan. Kalau ada halangan, mereka kena atasi halangan itu.
“Halangan bukan daripada kami, mungkin daripada Akta Lompat Parti bagi ahli Parlimen yang sedang menjawat jawatan. Jika akta menghalang, maka wajar akta itu dipinda bagi memudahkan mana-mana ahli parti yang dipecat memilih parti yang ingin mereka sertai,” katanya dipetik laporan media.
Beliau berkata, pendirian UMNO kekal konsisten untuk menerima semula bekas ahli tanpa sebarang syarat, selaras dengan keputusan pucuk pimpinan parti.
“Kita terima semua tanpa sebarang syarat sebagaimana yang dinyatakan presiden,” katanya.
Akta Anti Lompat Parti yang diluluskan pada 2022 diwujudkan bagi menghalang wakil rakyat bertukar parti selepas dipilih dalam pilihan raya, sekali gus mengelakkan ketidakstabilan politik yang pernah berlaku sebelum ini.
Namun, beberapa pihak melihat masih terdapat kekeliruan apabila melibatkan pemimpin yang dipecat atau digantung keahlian oleh parti asal mereka.
Sementara itu, Ahmad berkata, Sabah menjadi negeri paling proaktif dalam memperkukuh gerakan Rumah Bangsa apabila menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti permohonan bekas ahli dan pemimpin yang mahu kembali ke pangkuan UMNO.
Menurutnya, jawatankuasa itu akan mengemukakan cadangan kepada kepimpinan pusat, khususnya membabitkan pemimpin di Sabah yang pernah meninggalkan parti atau dikenakan tindakan disiplin.
“Kita ada Jawatankuasa Rumah Bangsa di Sabah dan mereka sudah bermesyuarat semalam. Kita menunggu pandangan mereka mengenai pemimpin-pemimpin di Sabah yang mahu masuk kembali.
“Mana-mana ahli boleh terus ke pusat, hanya perlu hantar surat menyatakan hasrat untuk kembali dan secara umumnya kita terima, termasuk pemimpin yang dipecat, ADUN dan ahli Parlimen,” katanya.
Politik matang kunci kukuhkan perpaduan negara: Anwar
PAS buat pusingan-U, Hadi umum Hamzah jadi Ketua Pembangkang bukan Samsuri
AMK kenal pasti calon muda hadapi PRN Johor, Negeri Sembilan: Kamil
Tei terima pelawaan debat dengan bos J-KOM isu sekatan media sosial
Zahid tegur pemimpin DAP jaga lidah, hormati rakan kerjasama
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi