AMK bidas pihak guna platform mahasiswa untuk agenda peribadi

May 11, 2026 · Politik

Angkatan Muda Keadilan (AMK) menegaskan mana-mana kenyataan yang dikeluarkan atas nama Mahasiswa Keadilan Malaysia (MKM) perlu melalui saluran organisasi yang sah dan tidak boleh dipergunakan bagi memenuhi kepentingan politik individu tertentu.

Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin berkata pihaknya mengambil perhatian terhadap satu kenyataan media yang dikeluarkan atas nama MKM baru-baru ini yang didakwa cuba menimbulkan kekeliruan terhadap kepimpinan parti dan Perdana Menteri Anwar Ibrahim.

Menurut beliau, hasil maklum balas awal mendapati kenyataan tersebut tidak pernah dibincangkan atau diputuskan secara kolektif oleh pimpinan serta rangkaian MKM di seluruh negara.

“Ken­yataan itu bukan sahaja tidak melalui proses organisasi yang teratur, malah telah dinafikan secara tegas oleh Setiausaha Agung MKM dan pengerusi-pengerusi MKM kampus universiti seluruh negara,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.

Beliau berkata, tindakan segelintir individu menggunakan platform mahasiswa untuk membawa agenda tertentu jelas tidak mewakili suara majoriti mahasiswa yang bersama gerakan itu.

Harish turut menjelaskan MKM bukan sayap rasmi Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan sejak awal penubuhannya diberikan ruang autonomi untuk bergerak secara bebas serta kritikal, termasuk terhadap pihak yang dekat dengan parti.

Bagaimanapun, katanya, kebebasan tersebut tidak boleh disalah guna sehingga menjadi medan sabotaj dalaman atau alat mencipta persepsi politik murahan.

“Kebebasan itu bukan lesen untuk memperalatkan nama organisasi demi percaturan politik individu tertentu,” katanya.

Kontroversi berhubung kenyataan terbabit tercetus selepas beberapa pimpinan dan ahli MKM tampil menolak kandungan kenyataan tersebut serta menegaskan ia bukan pendirian rasmi organisasi mahasiswa itu.

AMK berpandangan majoriti mahasiswa dan anak muda masih memahami disiplin organisasi serta tanggungjawab moral dalam membawa suara rakyat secara matang dan berprinsip.

Harish berkata, fokus utama ketika ini seharusnya tertumpu kepada usaha memperkukuh peranan anak muda dalam membina masa depan negara, bukannya menjadikan gerakan mahasiswa sebagai alat permainan politik sempit.

MKM ditubuhkan sebagai platform mahasiswa yang dekat dengan perjuangan reformasi dan sering membawa isu melibatkan pendidikan, kebajikan pelajar serta suara anak muda dalam arus politik semasa negara.

Berita berkaitan
Tak dicalonkan dalam PRN bukan alasan sabotaj parti: Aminuddin
1 jam lalu· Politik
1.88 juta rakyat nikmati manfaat MySalam: Fahmi
11 jam lalu· Isu semasa
Anwar gesa semua parti patuhi etika kempen PRN Johor, Negeri Sembilan
12 jam lalu· Politik
Perpecahan pembangkang kerana berebut kuasa, tiada kaitan dengan PMX: Kamil Munim
June 11, 2026· Politik
Lagi Politik terkini
Anwar dakwa sikap tak sabar punca PRN Negeri Sembilan terpaksa diawalkan
1 jam lalu · Politik
PKR bidas tindakan MP Petaling Jaya letak jawatan dalam parti
5 jam lalu · Politik
Rumah Jamal disita: 14 barang akan dilelong 22 Jun
5 jam lalu · Politik
Bila Samsuri nak lantik Pengerusi PN Negeri Sembilan, PRN dah dekat: Sanjeevan
11 jam lalu · Politik
Fahmi kesal MP Petaling Jaya letak jawatan MPP PKR secara terburu-buru
11 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan
May 17, 2026
[VIDEO] Literasi digital jadi benteng kekang jenayah siber kanak-kanak: Fahmi
May 12, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok