Bantuan tunai RM400 sebulan bukan penyelesaian mutlak kepada masalah dihadapi pekebun kecil, tegas Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau mengakui jumlah bantuan itu masih belum mencukupi dan kerajaan perlu terus mendengar masalah golongan berkenaan di peringkat akar umbi, terutama ketika kos sara hidup serta keadaan ekonomi terus berubah.
“Kalau wakil pekebun kerja tanya saya, cukup? Tentu dia jawab, tak cukup dan saya akui,” katanya ketika berucap pada Perhimpunan Bulanan Kementerian Perladangan dan Komoditi hari ini.
Anwar berkata, bantuan kerajaan perlu dilihat sebagai sebahagian daripada pendekatan lebih menyeluruh bagi memperkukuh kedudukan pekebun kecil, bukan sekadar pemberian tunai bulanan.
Katanya, kira-kira 270,000 pekebun kecil termasuk pengusaha kecil sawit, getah, lada dan kenaf telah menerima Budi Agri-Komoditi sebanyak RM400 sebulan setakat September 2026.
“Kerajaan perlu memastikan bantuan tersebut benar-benar sampai kepada kumpulan sasaran dan difahami oleh penerima,” katanya.
Menurut Anwar, antara cabaran yang masih berlaku ialah maklumat mengenai bantuan kerajaan tidak disampaikan dengan jelas kepada rakyat sehingga ada penerima tidak mengetahui bantuan yang disediakan.
“Sekurang-kurangnya dia tahu. Jangan dia kata belum dapat apa-apa,” katanya.
Dalam masa sama, beliau berkata kerajaan terus memperkukuh sokongan kepada sektor komoditi melalui pelbagai langkah termasuk insentif getah, bantuan penanaman semula sawit, pembiayaan mudah serta penyelenggaraan jalan ladang.
“Pendekatan tersebut menunjukkan kerajaan tidak berdiam diri terhadap masalah pekebun kecil,” katanya.
Bagaimanapun, Anwar berkata tuntutan supaya bantuan ditingkatkan perlu mengambil kira kedudukan kewangan negara, terutama berdepan tekanan ekonomi akibat perkembangan geopolitik dan peningkatan harga minyak dunia.
“Cuma kita kena faham juga keadaan ekonomi sekarang ini,” katanya.
Bantuan Budi Agri-Komoditi RM400 sebulan diperkenalkan kerajaan sebagai antara langkah membantu golongan pekebun kecil yang terkesan dengan kos operasi dan tekanan pendapatan dalam sektor komoditi.
Kerajaan pada masa sama dilihat cuba menggabungkan bantuan tunai dengan sokongan jangka panjang bagi memastikan pekebun kecil terus berdaya tahan serta mampu menghadapi perubahan harga komoditi dan kos pengeluaran.
MCMC nafi terlibat isu dalam laporan Anthropic
MA63 perlu jadi agenda nasional: Anwar
Kerajaan setuju tambah kerusi Parlimen Sabah, Sarawak: PMX
UMNO hormat keputusan Agong, tetap harap terbaik untuk Najib
Keputusan pengampunan Najib ditangguh ke mesyuarat akan datang
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum