
Jemaah mesti bebas daripada sebarang penyakit berjangkit, penyakit serius, atau penyakit kronik yang tidak terkawal. Malah, mereka juga perlu berupaya untuk menjalankan ibadat haji dengan sendiri tanpa bantuan.
Bakal jemaah haji Malaysia untuk musim 1447H/2026M perlu memastikan tahap kesihatan yang baik memandangkan Kerajaan Arab Saudi mengekalkan syarat kesihatan yang ketat untuk mendapatkan visa haji.
Menurut Pengarah Urusan Kumpulan dan Ketua Pegawai Eksekutif Tabung Haji (TH), Mustakim Mohamad, syarat-syarat tersebut menekankan jemaah mesti bebas daripada sebarang penyakit berjangkit, penyakit serius, atau penyakit kronik yang tidak terkawal.
Malah, mereka juga perlu berupaya untuk menjalankan ibadat haji dengan sendiri tanpa bantuan.
“Antara syarat wajib dipatuhi bakal jemaah ialah mereka tidak mempunyai penyakit hati kronik, masalah neurologi atau mental yang menjejaskan fungsi kognitif atau motor, warga emas dengan dementia atau fizikal lemah, kehamilan berisiko tinggi, penyakit berjangkit aktif dan penyakit kanser yang sedang dalam rawatan,” jelas Mustakim dalam satu kenyataan.
Beliau turut mendedahkan satu perubahan penting bagi musim haji akan datang, iaitu Kementerian Haji dan Umrah Arab Saudi tidak lagi membenarkan TH mengendalikan Pusat Rawatan sendiri di Tanah Suci.
Sehubungan itu, jemaah yang memerlukan rawatan lanjut akan dirujuk terus ke hospital yang disediakan oleh kerajaan Arab Saudi.
“TH juga telah merancang untuk menyediakan kemudahan kesihatan di hospital swasta Arab Saudi sekiranya perlu,” tambahnya bagi memastikan kelancaran perkhidmatan kesihatan.
Bagi menangani perubahan ini, TH dengan kerjasama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menyediakan 225 petugas kesihatan untuk memberi bantuan dan pemantauan rapi.
“TH sentiasa mengutamakan keselamatan, kebajikan dan keselesaan jemaah haji Malaysia sebagai teras dalam pengurusan operasi haji setiap tahun,” ujarnya.
Beliau juga menasihati bakal jemaah supaya membuat persediaan fizikal yang secukupnya memandangkan mereka akan melalui suasana berdebu dan cuaca panas di Arab Saudi untuk tempoh yang lama.
Klinik kesihatan masih akan disediakan di semua bangunan penginapan jemaah di Mekah dan Madinah, yang dikendalikan oleh petugas KKM bertauliah, bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan kesihatan terbaik kepada jemaah.