Mohamed Azmin Ali.
Bersatu mengakui menerima keputusan rakyat Johor yang menolak parti itu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor apabila gagal memenangi sebarang kerusi yang ditandingi menerusi Perikatan Nasional (PN).
Setiausaha Agungnya, Mohamed Azmin Ali berkata, parti itu menghormati keputusan yang dibuat pengundi dan akan menjalankan penelitian menyeluruh terhadap prestasi pilihan raya bagi mengenal pasti langkah penambahbaikan untuk menghadapi cabaran akan datang.
“Bersatu menerima keputusan pengundi Johor yang memberikan sokongan kepada calon di 16 kawasan yang ditandingi atas nama PN. Demokrasi yang memberi kuasa kepada rakyat adalah asas penting untuk kemajuan negara.
“Secara keseluruhan, jumlah undi yang diterima adalah baik dan tapak sokongan ini akan terus diperluaskan pada masa depan,” katanya dalam kenyataan.
Beliau turut mengucapkan tahniah kepada Onn Hafiz Ghazi serta Barisan Nasional (BN) yang diberi mandat baharu untuk membentuk kerajaan negeri selepas kemenangan besar dalam PRN Johor.
Mohamed Azmin turut merakamkan penghargaan kepada seluruh jentera Bersatu yang bertungkus-lumus membantu kempen calon parti sepanjang pilihan raya berlangsung.
“Saya mengucapkan terima kasih kepada semua jentera BERSATU yang bekerja keras membantu calon dalam semangat setiakawan dan kesetiaan kepada perjuangan,” katanya.
Keputusan PRN Johor menyaksikan Bersatu mengalami kekalahan paling buruk apabila tewas di semua kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) yang ditandingi, termasuk Bukit Kepong yang sebelum ini menjadi kubu parti itu selama dua penggal menerusi bekas Menteri Besar, Dr Sahruddin Jamal.
Berdasarkan keputusan rasmi, BN menguasai PRN Johor dengan memenangi 48 daripada 56 kerusi DUN yang dipertandingkan, sekali gus memperoleh majoriti lebih dua pertiga untuk membentuk kerajaan negeri.
Lapan lagi kerusi dimenangi Pakatan Harapan (PH), manakala PN gagal membuka akaun kemenangan apabila tidak memenangi sebarang kerusi.
PRN Melaka: Amirudin diberi amanah teliti kerjasama PH-BN
Mahu jawatan PM, UMNO perlu bersama dengan PN: PAS Selangor
Akmal sahkan Pemuda UMNO akan hadir Muktamar Pemuda PAS
Adam Adli: Rundingan BN-PH belum bermula, tapi masih terbuka
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri