Balu Daim terkejut aset dibeku, tahu menerusi media sahaja

June 4, 2025 · Isu semasa

Balu Allahyarham Tun Daim Zainuddin terkejut sebaik mengetahui tindakan pembekuan aset dibuat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan hanya tahu mengenainya melalui laporan media.

Toh Puan Na’imah Khalid menyifatkan tindakan agensi tersebut sebagai pencabulan hak asasi dan perundangan serta bermotifkan politik dendam.

“Ini merupakan satu pencabulan mengejut terhadap norma undang-undang yang paling asas. Penyitaan harta oleh kerajaan tanpa sebarang notis kepada pemilik yang sah merupakan satu duluan yang berbahaya.

“Bagaimana SPRM boleh memperoleh perintah pembekuan secara ‘ex parte’ tanpa kehadiran atau pengetahuan pihak kami. Ini adalah satu tindakan secara serang hendap yang jelas tidak selaras dengan prinsip keadilan.

“Saya sepatutnya dibenarkan untuk menyatakan pembelaan saya di mahkamah. Mereka memperoleh perintah tersebut secara rahsia, di sebalik pintu tertutup. Tiada peruntukan undang-undang membenarkan permohonan seperti ini.

”Kini mereka bersembunyi di sebalik selimut legaliti untuk menjustifikasikan sesuatu yang jelas merupakan satu bentuk pencurian oleh institusi kerajaan,” katanya menerusi kenyatan hari ini.

Na’imah mengulas permohonan SPRM untuk membekukan aset bernilai 132 juta pound sterling (RM758.2 juta) yang dibenarkan Mahkamah Tinggi, di sini, mengikut Seksyen 4(1) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (AMLATFPUAA 2001).

Tujuh aset yang dibekukan kesemuanya di London ialah dua bangunan komersial, lima kediaman mewah dan satu akaun bank sementara, akaun bank itu berdaftar atas nama Yayasan Ilham.

Difahamkan perintah mahkamah itu akan dihantar kepada pihak berkuasa United Kingdom untuk pelaksanaan pembekuan aset berkenaan.

“Taktik-taktik ini adalah akibat langsung daripada kempen pemburukkan panjang dan berterusan terhadap Tun Daim dan keluarga saya.

“Apa yang lebih membimbangkan, tiada sebarang kesalahan jenayah pernah dibuktikan terhadap Daim semasa hayatnya, mahupun selepas kematiannya,” ujarnya.

Beliau juga menegaskan perintah pembekuan itu diperoleh di bawah AMLA yang mensyaratkan wujudnya kesalahan serius untuk sebarang tindakan pembekuan.

Namun dakwanya, setakat ini tidak ada sebarang pertuduhan pernah dikenakan terhadap beliau mahupun arwah suaminya.

“Adakah khabar angin, syak wasangka dan dendam politik kini mencukupi untuk merampas aset rakyat?” soal beliau.

Beliau memaklumkan bahawa peguamnya akan memfailkan cabaran undang-undang bagi membatalkan perintah pembekuan tersebut.

“Saya akan mencabar perintah ini untuk mempertahankan hak yang tidak sepatutnya dirampas daripada mana-mana rakyat Malaysia. Ini adalah soal mempertahankan negara yang ditadbir oleh undang-undang, bukan ketakutan.

“Saya tidak akan tunduk kepada pembuli. Kebenaran dan keadilan akan menang, kepada mereka yang menyalahgunakan kuasa, ingatlah Surah Ash Shura, ayat 42-43,” ujar beliau.

Satu daripada bangunan komersial itu terletak di St Mary Axe, London yang dibeli pada Julai 2013 pada harga 23.7 juta pound sterling (RM136.2 juta) sementara satu lagi di One Crown Court, Cheapside London yang dibeli pada harga 31.5 juta pound sterling (RM181 juta) pada Oktober 2014.

Hartanah lain ialah tiga kediaman mewah yang mana dua daripadanya beralamat di Bryanston Square dan Bryanston Mews dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 37.8 juta pound sterling (RM217.3 juta) dan sebuah lagi beralamat di Lancaster Gate, London dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 31.2 juta pound sterling (RM179.4 juta).

Turut dibekukan, dua kediaman di Gloucester Place yang dibeli pada 8 Januari 2021 pada harga 8.1 juta pound sterling (RM46.5 juta).

Berita berkaitan
DNAA: Zahid, AG dapat kebenaran cabar semakan kehakiman Badan Peguam
20 jam lalu· Politik
Isu RM2.1 bilion KKDW: Akmal persoal laporan Guan Eng kepada SPRM
22 jam lalu· Politik
SPRM perlu teliti isu RM2.1 bilion projek jalan luar bandar: AMK
23 jam lalu· Politik
MCMC-SPRM satukan teknologi, penguatkuasaan lawan rasuah
October 2, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Jerebu: Agong titah sekolah tutup jika IPU 150 hingga 180
14 jam lalu · Isu semasa
Anwar hubungi Prabowo, ASEAN digerakkan tangani jerebu
14 jam lalu · Isu semasa
MCMC siasat dakwaan AI hasilkan video seksual libat guru, pelajar
14 jam lalu · Isu semasa
Tiada lesen judi baharu dikeluarkan: MOF
20 jam lalu · Isu semasa
Kandungan palsu berhubung dua kematian pelajar, MCMC ambil tindakan
20 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok