Bencana banjir.
Keadaan banjir di seluruh negara semakin memburuk dengan jumlah mangsa yang dipindahkan meningkat kepada hampir 25,000 orang setakat pagi ini.
Menurut laporan terkini Pusat Pengurusan Bencana Negara, seramai 24,907 mangsa daripada 8,308 keluarga kini ditempatkan di 142 pusat pemindahan sementara (PPS) di seluruh negara.
Lapan buah negeri terus dilanda banjir, dengan Kelantan, Perlis, dan Perak mencatatkan jumlah mangsa tertinggi. Trend peningkatan berterusan dikesan terutamanya di negeri-negeri Utara dan Pantai Timur.
Kelantan kekal sebagai negeri paling teruk terjejas dengan 9,525 mangsa.
Walaupun Tumpat mencatatkan penurunan kecil, kawasan seperti Kota Bharu, Bachok dan Pasir Puteh masih menunjukkan peningkatan jumlah mangsa.
Di Perlis, kesemua 5,968 mangsa terus mendapat perlindungan di 18 PPS, manakala Perak menempatkan 4,184 mangsa.
“Situasi ini sentiasa dipantau dan semua pihak berkuasa negeri telah digerakkan untuk memberikan bantuan segera kepada mangsa,” menurut kenyataan yang dikeluarkan.
Keadaan infrastruktur juga terjejas teruk dengan lebih 100 jalan raya ditutup sepenuhnya atau sebahagiannya di seluruh negara akibat banjir, tanah runtuh dan kerosakan jalan.
Beberapa jalan utama di Perlis, Perak, Kedah dan Selangor terpaksa ditutup kepada semua kenderaan bagi mengelakkan sebarang kemalangan.
Jabatan Meteorologi Malaysia (MetMalaysia) pula mengeluarkan amaran berterusan mengenai ribut petir, hujan lebat dan angin kencang di beberapa negeri termasuk Kelantan, Terengganu, Pahang dan Perak.
Beberapa kawasan di Tumpat, Pasir Mas dan Kota Bharu diletakkan di bawah amaran ‘Hujan Sangat Lebat Berterusan’ yang dikategorikan sebagai bahaya.
Pemantauan sungai turut menunjukkan paras air yang semakin meningkat di beberapa batang sungai utama di Kelantan dan Johor.
Walaupun kebanyakan empangan dilaporkan berada pada paras selamat, beberapa empangan di Johor, Kedah, Perak dan Perlis telah mencapai 100 peratus kapasiti, namun tiada pelepasan air kecemasan dilaporkan setakat ini.
Gempa Batu Pahat, gegaran dirasai di enam kawasan sehingga ke Putrajaya
Anwar sampaikan keresahan keluarga mangsa masih hilang kepada PM Nepal: Bernama
Tiga pelakon ditahan susulan video tular persenda Rukun Negara
53 ditahan dalam Op Pedo 3.0, guru dan pembantu makmal antara suspek
Kes scam: Panik kena dakwa, wanita jual barang kemas RM500,000
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum