Baucar buku RM100 diteruskan untuk pelajar bagi galakkan budaya membaca: PMX

May 29, 2026 · Isu semasa

Kerajaan meneruskan pemberian baucar buku RM100 kepada pelajar sekolah menengah di bawah Kementerian Pendidikan serta penuntut Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) tahun ini sebagai usaha memperkukuh budaya membaca dalam kalangan generasi muda.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, bantuan itu boleh digunakan sepanjang Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 yang berlangsung selama 10 hari bermula hari ini hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).

Menurut beliau, pemberian baucar berkenaan yang diperkenalkan sejak beberapa tahun lalu kini disalurkan secara terus kepada penerima bagi memudahkan urusan pembelian buku.

“Bantuan RM100 yang diberikan sejak beberapa tahun lepas, kini disalurkan secara terus. Jadi, apabila anda membeli buku, anda akan menikmati diskaun tersebut,” katanya ketika merasmikan PBAKL 2026 hari ini.

Anwar turut mengingatkan ibu bapa supaya memastikan baucar tersebut digunakan sepenuhnya bagi membeli bahan bacaan yang bermanfaat untuk anak-anak.

Beliau berkata, penganjuran PBAKL bukan sekadar acara tahunan industri buku, sebaliknya platform penting untuk menyemai budaya membaca dalam masyarakat, khususnya golongan muda yang semakin terdedah kepada dunia digital.

Menurutnya, kecenderungan masyarakat hari ini yang terlalu bergantung kepada media sosial untuk mendapatkan jawapan kepada isu kompleks turut memberi kesan terhadap minat membaca dan budaya mendalami ilmu.

“Kalau masyarakat hanya bergantung kepada media sosial untuk memahami sesuatu isu, akhirnya budaya membaca dan memahami ilmu secara mendalam akan semakin terhakis,” katanya.

Dalam pada itu, beliau menggesa warga pendidik memberi penekanan terhadap usaha memperluas penguasaan ilmu dalam pelbagai bidang termasuk agama, sains dan kecerdasan buatan (AI), selain meningkatkan tahap literasi digital pelajar.

Anwar turut memberi jaminan sektor pendidikan dan pembangunan budaya ilmu akan terus menjadi keutamaan kerajaan walaupun langkah penjimatan sedang dilaksanakan dalam beberapa sektor bagi memastikan kedudukan kewangan negara kekal stabil.

Katanya, semua kementerian dan agensi kerajaan telah diminta mengurangkan perbelanjaan tidak perlu supaya ekonomi negara dapat diperkukuh tanpa menjejaskan aspek penting seperti pendidikan.

“Semua kementerian penting, semua fokus penting, tetapi dalam keadaan sekarang semua harus waras dan bijak. Kita kena tahu masalah, perbaiki kelemahan, kurangkan kos yang perlu dan pada masa sama menetapkan keutamaan,” katanya.

PBAKL merupakan acara tahunan terbesar industri buku negara yang menghimpunkan penerbit, penulis dan pencinta buku dari dalam serta luar negara.

Program itu turut dilihat sebagai antara inisiatif utama kerajaan dan pemain industri dalam menggalakkan minat membaca di tengah-tengah perkembangan pesat teknologi digital dan media sosial.

 

Berita berkaitan
Kerajaan mula kaji sistem cukai hybrid SST-GST: Fahmi
10 jam lalu· Isu semasa
AUKU akan dimansuhkan, pentadbiran universiti diberi nafas baharu: Fahmi
10 jam lalu· Isu semasa
RCI Tabung Haji: Siasatan tak terikat untuk tempoh 2014-2020, boleh diperluas
August 18, 2026· Isu semasa
Kerajaan terbuka kaji gabung elemen SST, GST
August 18, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Minyak dunia bergolak, harga petrol tanpa subsidi naik 20 sen
7 jam lalu · Isu semasa
Facebook dan TikTok jadi sarang utama kandungan scam
8 jam lalu · Isu semasa
Kes wanita 62 tahun disimbah petrol, dendam jadi motif: Polis KL
12 jam lalu · Isu semasa
Bekas CEO bank hadap pertuduhan tipu pelaburan RM139.8 juta
12 jam lalu · Isu semasa
Tiga maut dilanggar lori imigresen terbabas: Polis tahan dua pemandu
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
August 16, 2026
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
August 11, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok