Ketua Penerangan AMK, Danish Hairudin.
PAS disaran tidak terlalu ghairah mengajar Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengenai konflik China-Taiwan sebaliknya memberi perhatian terlebih dahulu kepada isu pengurusan Tabung Haji yang lebih dekat dengan kepentingan umat Islam.
Angkatan Muda Keadilan (AMK) menerusi penerangan ketuanya, Danish Hairudin, berkata PAS perlu menyelesaikan persoalan berkaitan Tabung Haji sebelum cuba tampil sebagai pakar dalam isu geopolitik antarabangsa.
“Saya cadangkan PAS jangan pergi terlalu jauh dahulu. Sebelum sibuk bahas Taiwan, lebih baik PAS bahas Tabung Haji,” katanya dalam satu kenyataan.
Danish berkata, Laporan Suruhanjaya Siasatan Diraja (RCI) mengenai Tabung Haji yang baru didedahkan menemukan beberapa perkara serius, termasuk campur tangan dan pertimbangan politik yang didakwa mempengaruhi keputusan penting institusi itu.
Menurutnya, perkara berkenaan turut melibatkan isu hibah, bayaran haji serta Bantuan Kewangan Haji.
“Antara lain termasuklah beberapa pelaburan yang mencurigakan dan kerugian 100 peratus. Lebih serius, terdapat isu melibatkan RM22.12 juta dana Yayasan Tabung Haji yang menjadi antara perkara yang disiasat,” katanya.
Beliau berkata isu berkenaan wajar diberi perhatian kerana Tabung Haji memainkan peranan besar dalam mengurus simpanan umat Islam serta urusan haji rakyat Malaysia.
Kenyataan itu hadir susulan kritikan PAS terhadap isu hubungan antarabangsa, termasuk konflik antara China dan Taiwan serta pendirian Malaysia dalam mengurus hubungan dengan kuasa besar dunia.
Danish berkata, perbahasan mengenai dasar luar negara sememangnya penting, namun PAS tidak seharusnya mengabaikan isu domestik yang mempunyai kaitan langsung dengan kepentingan rakyat.
“Jadi sebelum PAS mahu menjadi pakar geopolitik dan mengajar kerajaan tentang Beijing dan Taipei, bahas dahulu persoalan yang lebih dekat dengan umat Islam,” katanya.
Laporan RCI Tabung Haji sebelum ini menjadi perhatian selepas mendedahkan pelbagai isu berkaitan tadbir urus, keputusan pelaburan dan pengurusan dana institusi berkenaan.
Penemuan itu turut mencetuskan perbincangan mengenai keperluan memperkukuh tadbir urus serta memastikan keputusan dibuat berasaskan kepentingan pendeposit dan jemaah haji.
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
Kerugian hampir RM10 bilion: Zahid mahu FELDA diaudit secara forensik
Amirudin jumpa Anwar esok, bincang kerjasama PH-BN di Melaka
Lantang isu luar negara, kenapa diam isu Tabung Haji? – Fahmi sindir PAS
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri