BDR penjawat awam jimat subsidi petrol lebih RM7.3 juta

July 14, 2026 · Isu semasa

Pelaksanaan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR) dalam kalangan penjawat awam sejak pertengahan April lalu berjaya menjimatkan peruntukan subsidi petrol kerajaan sebanyak RM7.3 juta, sekali gus mengurangkan penggunaan bahan api lebih empat juta liter dalam tempoh tiga bulan.

Ketua Setiausaha Negara, Shamsul Azri Abu Bakar berkata sebanyak RM7,309,084 subsidi petrol berjaya dijimatkan setakat ini hasil pelaksanaan dasar berkenaan, manakala penggunaan bahan api turut berkurang sebanyak 4,046,448 liter di seluruh negara.

Menurutnya, seramai 659,000 penjawat awam secara kumulatif telah memanfaatkan inisiatif BDR yang diperkenalkan sebagai langkah menangani kesan krisis bekalan tenaga global.

“Pelaksanaan BDR membuktikan penjimatan subsidi dapat dicapai tanpa menjejaskan produktiviti perkhidmatan awam. Susulan kejayaan itu, kerajaan bersetuju memperkemaskan dasar ini menerusi pelaksanaan Hari Bekerja Hibrid (HBH) bermula 1 Ogos,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Penyampaian Pensijilan UNGGUL Sistem Pengurusan Integriti dan Governans (SPINE) serta Apresiasi Institut Integriti Malaysia (IIM) hari ini.

Beliau berkata, menerusi HBH, penjawat awam diwajibkan hadir bekerja di pejabat selama tiga hari seminggu, manakala baki dua hari boleh dilaksanakan secara hibrid sama ada dari rumah atau lokasi alternatif yang dibenarkan.

Bagaimanapun, Shamsul Azri menjelaskan kelonggaran itu tidak boleh digunakan bagi membolehkan penjawat awam menikmati cuti hujung minggu yang lebih panjang.

“Sebagai contoh, jika cuti hujung minggu jatuh pada Sabtu dan Ahad, mereka tidak dibenarkan memilih Jumaat dan Isnin sebagai hari bekerja hibrid,” katanya.

Beliau berkata, pendekatan itu bertujuan memastikan pelaksanaan HBH mencapai objektif asal iaitu menjimatkan subsidi kerajaan, di samping mengekalkan kecekapan penyampaian perkhidmatan awam.

Dalam perkembangan lain, Shamsul Azri memaklumkan sebanyak 37 organisasi sektor awam membabitkan kementerian dan agensi kerajaan telah menerima Pensijilan UNGGUL SPINE setakat ini.

Katanya, pensijilan itu menjadi pengiktirafan terhadap komitmen organisasi berkenaan dalam memperkukuh budaya integriti, tadbir urus yang baik serta usaha membanteras rasuah.

Dasar BDR diperkenalkan kerajaan pada pertengahan April lalu susulan peningkatan kos tenaga di peringkat global.

Kejayaan pelaksanaannya mendorong kerajaan menggantikannya dengan dasar Hari Bekerja Hibrid yang akan berkuat kuasa mulai 1 Ogos sebagai sebahagian daripada usaha mengimbangi penjimatan perbelanjaan kerajaan dengan keperluan operasi perkhidmatan awam.

Berita berkaitan
BDR jimat hampir RM6 juta subsidi petrol
June 23, 2026· Uncategorized
BDR penjawat awam berjaya jimat lebih RM4 juta subsidi petrol
May 26, 2026· Isu semasa
Lebih 200,000 penjawat awam mula kerja dari rumah esok
April 14, 2026· Isu semasa
Pelaksanaan bekerja dari rumah bagi pengamal media perlu dikaji terlebih dahulu: Fahmi
April 3, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Penipuan dalam talian: Selangor catat kerugian tertinggi
October 25, 2026 · Isu semasa
Kewangan Islam dijangka kuasai lebih 50 peratus aset negara: Gabenor
October 25, 2026 · Isu semasa
RM15 juta dana kreatif dibuka 16 November: Fahmi
14 jam lalu · Isu semasa
Anugerah Seri Angkasa iktiraf sumbangan warga penyiaran: Fahmi
15 jam lalu · Isu semasa
JPN sudah keluarkan 275,785 MyKad baharu, Johor rekod tertinggi
20 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok