Dr Muhamad Akmal Saleh.
Ketua Pemuda UMNO, Dr Muhamad Akmal Saleh mendesak pempengaruh media sosial, Eric See-To memohon maaf secara terbuka susulan tindakannya mempersenda penggunaan perkataan ‘lighad’ yang dikaitkan dengan ayat al-Quran.
Akmal menyifatkan tindakan memperlekehkan ayat suci al-Quran sebagai keterlaluan dan tidak sepatutnya dijadikan bahan sindiran politik.
“Kamu nak berpolitik, itu kamu punya pasal. Tetapi bila ayat al-Quran dipelekehkan sebegini rupa, maka ia adalah tindakan yang melampau.
“Kami desak untuk kamu mohon maaf secara terbuka dan laporan polis juga akan dibuat atas tindakan bodoh kamu ini,” katanya menerusi hantaran di Facebook pada Sabtu.
Kontroversi itu tercetus selepas Eric, yang dikenali sebagai penyokong politik bekas Perdana Menteri, Najib Razak, mempersoalkan penggunaan perkataan ‘lighad’ dalam satu hantaran media sosial yang turut memaparkan Surah al-Hashr, ayat 18.
Eric juga pernah dikaitkan dengan jentera komunikasi strategik Barisan Nasional (BN) dan dikenali sebagai individu di sebalik akaun media sosial Lim Sian See, yang kerap mengulas perkembangan politik negara.
Dalam hantaran yang mencetuskan kontroversi itu, Eric menulis: “Yang saya tengok ialah ada ‘Lighad’ yang saya langsung tak tahu apa itu. Tapi tak ada ‘Liwat’ pula.”
Isu berkenaan timbul selepas Perdana Menteri Anwar Ibrahim menggunakan beberapa istilah Arab yang jarang didengar ketika membentangkan Belanjawan 2027 pada Jumaat.
Antara istilah yang disebut ialah ‘waad’ dan ‘lighad’. Dalam bahasa Arab, ‘waad’ bermaksud janji, manakala ‘lighad’ merujuk kepada hari esok.
Surah al-Hashr, ayat 18 mengandungi peringatan kepada orang beriman supaya bertakwa kepada Allah dan meneliti persediaan untuk hari esok.
Akmal turut memaklumkan laporan polis akan dibuat berhubung tindakan Eric itu.
Kontroversi berkenaan sekali lagi mencetuskan perdebatan mengenai batas sindiran politik dan penghormatan terhadap perkara berkaitan agama, khususnya apabila ayat al-Quran menjadi sebahagian daripada perbahasan di media sosial.
Zahid tak akan benar usul gugat MB Negeri Sembilan
PN sasar lebih empat kerusi di Melaka hasil rundingan dengan UMNO: Tuan Ibrahim
Adly kritik Akmal, dakwa main sentimen kaum dan agama
Mat Sabu: Jadikan krisis Negeri Sembilan pengajaran buat pengundi PRN Melaka
Parlimen: 19 kes DNAA libatkan 12 ahli politik sejak 2010
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum