Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Kerajaan bercadang mewujudkan sebuah pusat pembangunan dan pengajian al-Quran bertaraf serantau yang dinamakan Madinatul Al-Quran, yang dijangka menjadi antara projek terbesar berkaitan pembangunan ilmu al-Quran di negara ini.
Perdana Menteri Anwar Ibrahim berkata, Madinatul Al-Quran bukan sekadar sebuah kompleks dan boleh diangkat sebagai hab ilmu yang menghimpunkan pusat pengajian al-Quran, institusi penyelidikan serta kemudahan percetakan mushaf al-Quran untuk kegunaan rantau ini.
Menurutnya, perbincangan akan diadakan dalam masa terdekat bersama beberapa pihak bagi memperhalusi cadangan tersebut, termasuk dengan Timbalan Perdana Menteri, Fadillah Yusof dan Pengerusi Eksekutif Yayasan Restu, Abdul Latiff Mirasa.
“Saya akan berbincang dengan saudara Latiff dalam satu dua hari ini. Ini idea yang baik oleh Fadillah untuk menjadikan projek ini sebagai projek umat Islam dalam dan luar negara,” katanya ketika berucap pada majlis peluncuran Mushaf Malaysia Madani di Kompleks Nasyrul Quran hari ini.
Beliau menambah, kerajaan juga merancang menjalinkan kerjasama dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia serta universiti tempatan bagi memastikan pusat berkenaan berkembang sebagai institusi ilmu yang berpengaruh di peringkat antarabangsa.
“Inisiatif ini bukan sekadar membina sebuah gedung, tetapi pengisiannya mesti jauh lebih besar dengan pengembangan ilmu, penyelidikan dan tadabbur al-Quran,” katanya.
Cadangan penubuhan Madinatul Al-Quran dilihat selari dengan usaha Malaysia memperkukuh peranannya sebagai antara pusat pengajian dan percetakan al-Quran penting di dunia Islam.
Negara ini sebelum ini menempatkan Kompleks Nasyrul Quran di Putrajaya yang menjadi pusat percetakan mushaf terbesar di Asia Tenggara.
Pada majlis sama, Anwar turut melancarkan Mushaf Malaysia Madani, antara mushaf hibrid terawal di negara ini yang menggabungkan seni khat, seni Islam dan inovasi digital.
Selain itu, beliau turut melancarkan kontena al-Quran wakaf di bawah Projek Wakaf Satu Juta al-Quran yang mengandungi naskhah berserta terjemahan dalam beberapa bahasa termasuk Sepanyol, Inggeris dan Perancis untuk komuniti Islam di Kanada dan Amerika Syarikat.
Dalam ucapannya, Anwar menegaskan pembangunan negara tidak akan bermakna jika masyarakat mengabaikan nilai kemanusiaan dan akhlak.
“Al-Quran menjadi paksi keyakinan yang membimbing manusia menilai yang makruf dan mungkar.
“Tanpa asas pengetahuan dan tadabbur al-Quran, pembangunan tidak akan memberi makna sebenar kepada kehidupan dan negara,” katanya.
Kerajaan susun semula perbelanjaan, perkhidmatan rakyat tidak terjejas: MOF
Kos harga tenaga dijangka melonjak susulan krisis di Asia Barat: Bank Dunia
Peniaga lesap RM610,000 terjerat pelaburan palsu
AGC tolak permohonan Namewee, kes dadah diteruskan: Laporan
Projek RM1.1 bilion: Bekas pembantu Rafizi sambung beri keterangan esok
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan