Fahmi Fadzil.
Harga tiket pawagam bagi filem tempatan di Wilayah Persekutuan sepatutnya diturunkan susulan keputusan kerajaan mengecualikan sepenuhnya duti hiburan mulai tahun depan.
Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata, kementeriannya akan menghubungi Persatuan Pemamer Filem Malaysia (MAFE) bagi membincangkan pelaksanaan langkah itu supaya manfaat pengecualian cukai berkenaan turut dinikmati penonton.
“Kerajaan telah memberikan pengecualian cukai hiburan, maka harga tiket di panggung wayang di Wilayah Persekutuan sepatutnya turun,” katanya kepada media selepas pembentangan Belanjawan 2027 di Parlimen, hari ini.
Menurut Fahmi, pengurangan harga tiket diharap dapat menarik lebih ramai penonton ke pawagam, sekali gus meningkatkan sokongan terhadap filem tempatan.
Pengecualian penuh duti hiburan itu diumumkan Perdana Menteri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2027, meliputi tiket tayangan filem tempatan dan persembahan teater tempatan di Wilayah Persekutuan mulai 2027.
Langkah itu merupakan antara usaha kerajaan membantu industri kreatif tempatan, khususnya dalam memperluas pasaran karya anak Malaysia dan menggalakkan rakyat menyokong hasil seni tempatan.
Selain pengecualian duti hiburan, kerajaan turut menyediakan peruntukan lebih RM130 juta bagi memperkukuh industri karya kreatif merangkumi sektor perfileman, muzik dan kandungan kreatif.
Peruntukan itu termasuk insentif kepada produksi filem dan animasi tempatan serta antarabangsa yang menjalankan penggambaran di Malaysia, selain insentif tambahan bagi karya yang mengetengahkan budaya dan identiti kebangsaan.
Kerajaan juga meneruskan Insentif Penggambaran di Malaysia (FIMI) bagi merangsang aktiviti penerbitan filem serta menarik lebih banyak produksi antarabangsa ke negara ini.
Dalam perkembangan lain, Fahmi berkata, Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) akan terus diperkasakan sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi setempat, terutama dalam membantu usahawan di kawasan luar bandar.
Kementerian Komunikasi merancang mengadakan Hari Terbuka NADI menjelang penghujung tahun ini dengan menghimpunkan pengurus dan penolong pengurus pusat berkenaan dari seluruh negara.
Program itu dijangka menjadi platform untuk memperkukuh peranan NADI dalam membantu komuniti mendapatkan akses maklumat, kemudahan digital dan peluang keusahawanan.
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum