Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil menyambut ketibaan 23 aktivis sukarelawan yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) di KLIA malam tadi.
23 aktivis sukarelawan yang menyertai Misi Global Sumud Flotilla (GSF) disambut ribuan orang ramai di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) malam tadi selepas selamat tiba dari Istanbul, Turki.
Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil dan Menteri Luar, Mohamad Hasan yang mewakili Perdana Menteri antara yang hadir bersama ribuan orang ramai yang berkumpul di KLIA bagi memberi penghargaan dan semangat kepada 23 aktivis tersebut yang sebelum ini berdepan penahanan tentera regim Israel selepas kapal mereka dipintas.
Mohamad atau Tok Mat menyifatkan kepulangan 27 sukarelawan GSF sebagai kejayaan besar diplomasi Malaysia serta bukti kukuh solidariti antarabangsa.

Mohamad Hasan atau Tok Mat bersama aktivis GSF di KLIA.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri, Anwar Ibrahim atas usaha yang membawa kepada kepulangan para sukarelawan ke pangkuan keluarga masing-masing.
“Kita amat bersyukur kepada ALLAH SWT atas keselamatan mereka. Sekalung penghargaan kepada Perdana Menteri atas usaha diplomatik beliau yang tidak mengenal penat lelah di peringkat tertinggi bersama pimpinan negara sahabat seperti Turkiye, Mesir dan Jordan,” katanya semasa sidang media sejurus tiba para aktivis di KLIA malam tadi.
Menurutnya, kerajaan Turkiye turut memainkan peranan penting dalam membantu pembebasan sukarelawan Malaysia yang ditahan secara tidak sah selepas kapal mereka dipintas di perairan antarabangsa pada 2 Oktober lalu.
“Alhamdulillah, rakyat kita telah selamat pulang. Terima kasih juga kepada Duta Turkiye dan semua pihak yang terlibat membantu menjayakan misi ini,” ujarnya.
Mohamad menegaskan, para sukarelawan terbabit tidak pernah memasuki wilayah Israel seperti yang didakwa.
“Mereka tidak masuk ke Israel secara haram. Mereka dalam perjalanan ke Gaza apabila dikepung oleh tentera Zionis dan dibawa ke Israel,” katanya.
Sementara itu, Wisma Putra dalam satu kenyataan turut memaklumkan pihaknya sedang memantau satu lagi misi flotila di bawah gabungan Freedom Flotilla Coalition (FFC) dan Thousand Madleens to Gaza (TMTG) yang kini dalam perjalanan ke Gaza membawa sembilan aktivis rakyat Malaysia.
“Misi ini bertujuan untuk mencabar sekatan tidak sah yang dikenakan oleh Israel serta menyalurkan bantuan kemanusiaan kepada rakyat Gaza yang memerlukan,” jelas kenyataan itu.
Semua pejabat perwakilan diplomatik Malaysia di rantau berkenaan telah diarahkan untuk berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya serta mengekalkan pemantauan rapi terhadap perkembangan misi tersebut.
“Malaysia akan terus bekerjasama erat dengan negara-negara rakan strategik bagi memastikan keselamatan, kebajikan dan hak rakyat Malaysia sentiasa terpelihara, selaras dengan komitmen berterusan kerajaan dalam menjunjung prinsip kemanusiaan sejagat dan keadilan antarabangsa,” menurut kenyataan itu lagi.
Tiga pegawai TUDM didakwa di mahkamah edar 96.2kg syabu
Saman MCMC RM600 juta terhadap Google sudah diserahkan: Nie Ching
Bekas Peguam Negara Abdul Gani Patail meninggal dunia
367,537 kandungan scam, akaun palsu dan deepfake dipadam
SPRM nafi pilih kasih, siasatan projek jalan KKDW masih berjalan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 24 Nov – Isu Rohingya, SST kekal, lesen judi, isu tahanan rumah Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib