Fashion Valet terima pelaburan hampir RM40 juta, mahkamah diberitahu

October 16, 2026 · Isu semasa

Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur hari ini diberitahu Fashion Valet Sdn Bhd menerima pelaburan hampir RM40 juta daripada Khazanah Nasional Berhad (Khazanah) dan Permodalan Nasional Berhad (PNB) menerusi empat transaksi pada 2018.

Pengurus Perkhidmatan Perbankan Public Bank Cawangan Bukit Damansara, Tay Lay Hong, 54, berkata wang berkenaan dimasukkan ke dalam akaun syarikat itu antara Mac hingga Disember tahun berkenaan.

Menurut saksi pendakwaan kelima itu, Khazanah memindahkan RM7.848 juta pada 23 Mac 2018 dan RM11.742 juta pada 26 Mac 2018, manakala PNB memindahkan RM11.953 juta pada 4 Jun serta RM8.365 juta pada 20 Disember 2018.

“Semakan ke atas penyata akaun bank syarikat Fashion Valet mendapati” transaksi berkenaan direkodkan dalam tempoh itu, katanya ketika membacakan pernyataan saksi dalam perbicaraan kes pengasas Fashion Valet, Vivy Sofinas Yusof dan suaminya, Fadzarudin Shah Anuar.

Mahkamah turut diberitahu terdapat pengeluaran RM11 juta daripada akaun Fashion Valet pada 21 Ogos 2018 menerusi transaksi pembayaran pukal dalam talian.

Tay menjelaskan transaksi itu memerlukan pengesahan individu yang diberi kuasa bagi akaun syarikat berkenaan, namun beliau tidak pasti siapa individu yang dilantik untuk meluluskan transaksi perbankan dalam talian tersebut.

Bagaimanapun, ketika disoal balas peguam, beliau bersetuju pengeluaran RM11 juta itu tidak semestinya bermaksud wang berkenaan dipindahkan ke satu akaun peribadi. Pembayaran pukal juga boleh digunakan bagi urusan seperti gaji dan sewa premis.

Selain itu, Tay berkata semakan penyata bank mendapati masing-masing terdapat kemasukan RM5 juta daripada 30 Maple Sdn Bhd ke akaun peribadi Fadzarudin pada 4 September 2018 dan akaun Vivy pada 3 September tahun sama.

Wang berkenaan direkodkan dengan rujukan “Interim Dividend” dan “CIMB Rentas”. Pada 5 September 2018, RM5.5 juta dikeluarkan daripada setiap akaun peribadi pasangan itu di kaunter Public Bank.

Vivy, 38, dan Fadzarudin, 37, mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pecah amanah dana pelaburan Khazanah dan PNB berjumlah RM8 juta ketika menjadi pengarah Fashion Valet.

Mereka didakwa melakukan kesalahan itu dengan membuat pembayaran RM8 juta daripada akaun Fashion Valet kepada 30 Maple tanpa kelulusan ahli lembaga pengarah syarikat pada 21 Ogos 2018.

Pertuduhan utama dikemukakan mengikut Seksyen 409 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman penjara antara dua hingga 20 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.

Pasangan itu turut mengaku tidak bersalah atas pertuduhan pilihan mengikut Seksyen 403 Kanun Keseksaan berkaitan penyalahgunaan harta milik syarikat.

Perbicaraan di hadapan Hakim Rosli Ahmad bersambung pada 3 November ini.

Berita berkaitan
Isu penilaian hartanah TH, bekas CEO dan CFO dihadapkan ke mahkamah
12 jam lalu· Isu semasa
SPRM tahan penjawat awam terbabit kes rasuah RM30 juta libat cukai taksiran
October 21, 2026· Isu semasa
Ekonomi Malaysia kembali rancak, pelabur semakin yakin: Amir Hamzah
October 19, 2026· Isu semasa
Warga emas rugi RM88,000 ditipu pelaburan saham palsu
October 19, 2026· Isu semasa
Lagi Isu semasa terkini
Polis Negeri Sembilan siasat dua kes hina institusi diraja, lelaki ditahan
3 jam lalu · Isu semasa
Jangan tular video insiden sekolah: MCMC
8 jam lalu · Isu semasa
Data 7.7 juta pengguna Waze didakwa dijual di dark web
10 jam lalu · Isu semasa
Super El Nino dijangka berlarutan hingga Januari 2027
12 jam lalu · Isu semasa
Jerebu: Malaysia tuntut Indonesia bertindak, bawa isu ke ASEAN
12 jam lalu · Isu semasa
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok