Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin.
Keputusan kerajaan Barisan Nasional (BN) pada 2016 melabur RM2.3 bilion dalam syarikat perladangan Indonesia, Eagle High Plantations (EHP), kini kembali dipersoalkan selepas pelaburan itu didakwa tidak memberikan sebarang pulangan kepada FELDA.
Lebih membimbangkan, nilai saham EHP yang dibeli hampir 10 tahun lalu pada harga sekitar 584 rupiah sesaham kini hanya sekitar 111 rupiah, sekali gus menyaksikan kejatuhan kira-kira 81 peratus.
Ahli Parlimen Putrajaya, Radzi Jidin berkata, berdasarkan nilai saham semasa serta kejatuhan nilai mata wang Rupiah, pelaburan asal sekitar RM2.3 bilion itu kini dianggarkan hanya bernilai kira-kira RM300 juta.
“Maknanya, nilai saham yang dibeli telah jatuh 81 peratus. Berdasarkan nilai saham EHP pada hari ini serta kejatuhan nilai Rupiah, pelaburan yang bernilai sekitar RM2,300 juta sewaktu dibeli pada tahun 2016 kini bernilai sekitar RM300 juta sahaja,” katanya dalam kenyataan di Facebook.
Menurut Radzi, FELDA juga tidak menerima sebarang pulangan sepanjang tempoh pelaburan itu, sebaliknya sehingga 13 Oktober 2025 sudah membayar prinsipal hutang serta faedah berjumlah RM166.8 juta.
Pada masa sama, FELDA masih mempunyai baki hutang kepada GovCo sebanyak RM2.77 bilion berdasarkan rekod pada 30 September 2025.
Urus niaga itu bermula selepas Felda Global Ventures (FGV) pada asalnya bercadang membuat pelaburan dalam EHP.
Namun, FGV tidak meneruskan cadangan berkenaan sebelum FELDA mengambil keputusan membeli 37 peratus saham syarikat perladangan Indonesia itu.
Oleh kerana FELDA tidak mempunyai kemampuan kewangan mencukupi, syarikat di bawah Kementerian Kewangan, GovCo Holdings Berhad (GovCo), menyediakan pinjaman RM2.3 bilion bagi membiayai pembelian tersebut.
Ketika urus niaga itu berlaku pada 2016, FELDA dipengerusikan Mohd Isa Samad yang memegang jawatan berkenaan dari 2011 hingga 2017. Beliau kemudian digantikan Shahrir Samad pada Januari 2017.
Pelaburan EHP turut menjadi kontroversi selepas harga pembelian dan kaedah pembiayaannya dipersoalkan, termasuk keputusan FELDA meneruskan urus niaga yang sebelum itu tidak diteruskan FGV.
Radzi berkata, beliau sudah beberapa kali membangkitkan isu pelaburan EHP di Dewan Rakyat dan di luar Parlimen.
“Kesimpulannya, FELDA pinjam RM2,300 juta untuk buat pelaburan dalam EHP pada tahun 2016. FELDA tidak mendapat sebarang pulangan di sepanjang tempoh pelaburan.
“Sebaliknya, FELDA telah membayar prinsipal hutang dan faedah berjumlah RM166.8 juta serta masih perlu melunaskan baki hutang sebanyak RM2,770 juta,” katanya.
PRN Melaka: Ab Rauf nafi jumpa Hadi hari ini
RCI Tabung Haji: Mahfuz bidas Hadi guna agama sebagai perisai melindungi rasuah
PRN Melaka: Zahid sahkan BN belum pilih PH atau PN untuk bekerjasama
UMNO akan hantar wakil ke Muktamar PAS: Zahid
Bersatu bukan lagi ahli PN kerana bertanding guna logo sendiri: Takiyuddin
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri