Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima tamparan hebat apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengambil tindakan tatatertib.
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) menerima tamparan hebat apabila Persekutuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) mengambil tindakan tatatertib melibatkan pengemukaan dokumen palsu bagi kelayakan tujuh pemain naturalisasi.
Tindakan itu diambil selepas siasatan mendapati FAM melanggar Artikel 22 Kod Tatatertib FIFA berhubung pemalsuan dokumen.
FIFA dalam kenyataannya memaklumkan bahawa dokumen tidak sah telah dikemukakan bagi membolehkan pemain-pemain terbabit beraksi dalam perlawanan rasmi.
Ketujuh-tujuh pemain yang terlibat ialah Gabriel Felipe Arrocha, Facundo Tomas Garces, Rodrigo Julian Holgado, Imanol Javier Machuca, Joao Vitor Brandao Figueiredo, Jon Irazabal Iraurgui, dan Hector Alejandro Hevel Serrano. Isu kelayakan mereka timbul berikutan aduan rasmi selepas aksi kelayakan Piala Asia 2027 menentang Vietnam pada 10 Jun lalu.
Akibatnya, FAM dihukum denda sebanyak CHF350,000 (kira-kira RM1.8 juta).
Setiap pemain juga dikenakan denda CHF2,000 (RM10,560) dan yang lebih berat, digantung daripada sebarang aktiviti bola sepak selama 12 bulan berkuat kuasa serta-merta.
FIFA turut memaklumkan isu kelayakan pemain-pemain tersebut untuk mewakili Malaysia akan dirujuk kepada Tribunal Bola Sepak FIFA untuk pertimbangan selanjutnya.
“Keputusan ini telah dimaklumkan kepada FAM dan semua pemain terlibat pada hari ini, dan mereka berhak untuk membuat rayuan kepada Jawatankuasa Rayuan FIFA,” kata FIFA dalam satu kenyataan.
Keputusan ini pastinya menjadi satu titik hitam dalam usaha Malaysia untuk bergantung pada pemain naturalisasi.
Perlawanan menentang Vietnam itu menyaksikan sembilan daripada 11 pemain utama adalah pemain naturalisasi, dengan lima daripada tujuh pemain yang kini dihukum itu hanya menerima kelulusan FIFA beberapa jam sebelum perlawanan bermula.
Gaji rakyat Malaysia naik kepada RM3,803 pada 2025
Kes scam: Pesara guru rugi RM15,000 ditipu sindiket menyamar pegawai polis
Skandal FELDA: Laporan awal mula didedah minggu depan
Projek Kampung Angkat MADANI perkasa kemudahan dua kampung di Kuala Pilah: Fahmi
Akta Tahanan Rumah: Tahanan reman mungkin tidak lagi duduk di penjara
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum