Aplikasi kecerdasan buatan (AI).
Sebuah firma teknologi berpangkalan di Istanbul, BBS Bilisim Teknolojileri, menafikan dakwaan terlibat dalam operasi terancang menggunakan kecerdasan buatan (AI) untuk memanipulasi maklumat politik dan pilihan raya di Malaysia.
Dalam kenyataan berbahasa Turki yang dimuat naik di LinkedIn pada 11 September lalu, syarikat itu menegaskan tidak mempunyai “penglibatan, pengetahuan atau kelulusan” berkaitan aktiviti yang didakwa dalam Laporan Risikan Ancaman Anthropic bagi September 2026.
BBS Bilisim Teknolojileri berkata pihaknya sedang menjalankan semakan dalaman bagi menentukan sama ada nama atau aset digital syarikat digunakan tanpa pengetahuan mereka, termasuk kemungkinan melibatkan bekas individu yang pernah mempunyai kaitan dengan firma berkenaan.
“Selepas mendapat bukti awal, laporan akan dibuat kepada pejabat ketua pendakwa raya terhadap pihak yang bertanggungjawab dan tindakan undang-undang akan diambil,” katanya.
Menurut rekod Warta Pendaftaran Perdagangan Turki, BBS Bilisim Teknolojileri dimiliki dua warga Turki, Türker Batuhan Sarı dan Bedri Sarı, masing-masing dengan pegangan 50 peratus.
Penafian itu dibuat selepas firma AI Anthropic mendakwa satu kumpulan menjual akses kepada platform yang menawarkan perkhidmatan bagi mempengaruhi ruang maklumat di Malaysia.
Laporan Anthropic yang diterbitkan pada 10 September mendakwa operasi itu menggunakan model AI Claude untuk mengendalikan lebih 1,000 akaun di platform X serta menghasilkan sokongan palsu terhadap tokoh kerajaan, termasuk Perdana Menteri.
Bagaimanapun, Anthropic turut menyatakan tiada bukti operasi terbabit memperoleh pengaruh besar atau berjaya mengubah keputusan pilihan raya.
Operasi itu juga didakwa menyediakan bahan untuk menyebarkan dakwaan palsu terhadap seorang ahli politik pembangkang dan pertubuhan masyarakat sivil. Kumpulan berkenaan turut dikaitkan dengan laman berita palsu Malaysia Pulse yang mempunyai saluran YouTube dengan hanya satu video.
Semakan media tempatan mendapati laman web Malaysia Pulse dan akaun berkaitan operasi itu kini tidak lagi boleh diakses.
Laporan Anthropic turut mendakwa pihak terbabit cuba mendapatkan kontrak dengan “pengawal selia komunikasi Malaysia”, namun tiada bukti usaha itu berjaya.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini menafikan penglibatan dalam sebarang aktiviti atau urusan seperti yang diterangkan Anthropic.
MCMC berkata pihaknya mengambil serius laporan berkenaan dan sedang mendapatkan maklumat lanjut bagi menentukan tindakan seterusnya.
Ketua Penerangan UMNO, Azalina Othman Said, pula menggesa siasatan dijalankan secara adil tanpa mengira parti politik atau pihak yang terlibat.
“Persoalan penting ialah siapa yang mengendalikan operasi ini, siapa yang membiayainya dan untuk kepentingan siapa ia dilakukan,” katanya.
Isu itu mendapat perhatian kerana penggunaan AI dalam operasi politik semakin membimbangkan, terutama apabila teknologi berkenaan boleh digunakan untuk menghasilkan akaun palsu, kandungan mengelirukan dan kempen propaganda dalam jumlah besar.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum