Presiden PAS, Abdul Hadi Awang.
Presiden PAS, Abdul Hadi Awang, menolak kemungkinan beliau akan dicalonkan sebagai Perdana Menteri sekiranya Perikatan Nasional (PN) memenangi Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU-16).
Beliau yang juga Ahli Parlimen Marang menegaskan keutamaan utama PAS buat masa ini adalah untuk memenangi pilihan raya terlebih dahulu sebelum membincangkan calon yang layak memegang jawatan tertinggi itu.
“Kita bersedia untuk memimpin Malaysia, tapi keutamaan kita adalah menang pilihan raya dahulu dan mendapat cukup sokongan. Bila menang, masalah siapa memimpin akan dipilih secara dalaman parti PN,” katanya kepada media selepas merasmikan Muktamar Tahunan PAS Pusat ke-71 hari ini.
Hadi juga menyenaraikan ciri-ciri pemimpin yang layak iaitu berilmu, kuat tubuh badan dan berintegriti.
“Orang umur 70 tahun lebih macam saya ini sudah tak layak, jadi penasihat bolehlah. Biar yang umur 70 ke bawah jadi Perdana Menteri dan orang itu kuat,” ujarnya.
Dalam pada itu, dalam ucapannya di muktamar tersebut, Hadi mengkritik hebat slogan ‘Malaysia Madani’ yang diperkenalkan kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim.
Beliau mendakwa konsep itu hanyalah alat untuk menipu rakyat dan menyerupai gerakan pembaharuan Barat yang boleh memesongkan akidah.
“Madani yang sebenar ialah Islam wajib berkuasa memerintah urusan manusia. Masalahnya ‘Malaysia Madani’ dijadikan slogan untuk menipu rakyat dengan kefahaman yang sempit tanpa ilmu; hanya sekadar menipu tanpa haluan dan petunjuk,” tegasnya lagi.
Abdul Hadi turut membangkitkan isu ekonomi negara dengan menyatakan keperluan untuk menyusun semula ekonomi agar kekayaan tidak hanya berputar dalam kalangan tertentu sahaja.
Beliau menekankan pentingnya merakyatkan ekonomi dan mengelakkan amalan riba yang diharamkan.
“Kita perlu merakyatkan ekonomi dengan penglibatan rakyat untuk menggerakkan ekonomi, seterusnya memastikan limpahan ekonomi dapat dinikmati oleh rakyat terbanyak,” katanya.
Kembalinya Hishammuddin, Khairy suntik keyakinan baharu kepada BN: Ka Siong
Desakan RCI mafia korporat hanya ‘Drama Politik’ DAP: Ahmad Fadhli
Najib teruskan rayuan hina mahkamah isu titah adendum
PAS tolak ‘Rumah Bangsa’ kerana UMNO masih dengan DAP: Hadi
AMK: Kenyataan PM berhubung kesan ekonomi global perlu dipandang serius
[VIDEO] Pertumbuhan ekonomi negara lepasi sasaran, usaha kerajaan berhasil
[VIDEO] Jawatankuasa khas siasat isu saham Azam ditubuhkan