Harga ikan di pasaran meningkat.
Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) mengesahkan berlaku kenaikan harga ikan sehingga 30 peratus di pasaran, namun menegaskan ia tidak berlaku secara menyeluruh dan hanya membabitkan lokasi tertentu.
Timbalan Menteri KPDN, Fuziah Salleh, berkata peningkatan itu didorong oleh permintaan tinggi terhadap bekalan ikan sempena musim tengkujuh yang sedang melanda ketika ini.
“Hasil pemantauan kami mendapati memang terdapat peningkatan harga ikan di pasaran, namun ia tidak berlaku secara meluas. Kenaikan yang dikesan juga tidak melebihi 30 peratus,” katanya pada sidang media selepas Walkabout Program Jualan Rahmah (PJR) Monsun hari ini.
Menurutnya, faktor utama kenaikan harga adalah permintaan tinggi ketika musim tengkujuh, selain keadaan cuaca yang menjejaskan bekalan di sesetengah kawasan.
Bagaimanapun, beliau menegaskan pihaknya tidak akan berkompromi sekiranya wujud unsur manipulasi pasaran.
“Sekiranya mana-mana pihak termasuk Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM) mempunyai maklumat berkaitan manipulasi bekalan oleh pemborong atau peniaga, kami menggesa mereka tampil membuat laporan bagi membolehkan siasatan lanjut dijalankan,” katanya.
Fuziah berkata setakat ini KPDN belum menerima sebarang aduan rasmi berkaitan isu tersebut, sebaliknya maklumat mengenai kenaikan harga hanya dilaporkan oleh pihak media.
Sebelum ini, media melaporkan kenaikan harga ikan di beberapa kawasan dipercayai bukan hanya berpunca daripada musim tengkujuh atau kekurangan hasil tangkapan nelayan, tetapi turut dikaitkan dengan tindakan segelintir pemborong yang didakwa memanipulasi bekalan.
Pengerusi LKIM, Muhammad Faiz Fadzil, dilaporkan berkata nelayan masih turun ke laut mengikut keadaan cuaca, namun terdapat pemborong yang menyimpan bekalan ikan dalam kuantiti besar sebelum melepaskannya ke pasaran ketika stok berkurangan.
“Tindakan menyimpan ikan dalam bilik sejuk dan mengeluarkannya semula ketika bekalan kurang antara punca harga meningkat secara mendadak,” katanya seperti dilaporkan.
Fahmi agih baucar Deepavali di Lembah Pantai, bantu ringankan beban penduduk
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum