Bekas ahli Majlis Kerja Tertinggi UMNO, Mohd Puad Zarkashi.
Rancangan PAS bersama-sama pihak tertentu yang dijadualkan berhimpun pada 26 Julai ini adalah satu tindakan sia-sia, kata Mohd Puad Zarkashi.
Ahli Majlis Tertinggi (MT) UMNO itu berkata PAS sememangnya suka menganjurkan perhimpunan kerana ia diibaratkan seperti `candu’ kepada ahli-ahli dan penyokong mereka yang fanatik untuk menjatuhkan kerajaan.
Bagaimanapun, tambahnya, meskipun PAS berjaya mengumpul jumlah peserta yang banyak pada 26 Julai nanti, namun objektif himpunan tersebut tidak akan tercapai.
Sebaliknya, kata beliau, adalah lebih berkesan sekiranya bekas timbalan presiden PKR Rafizi Ramli serta lapan Ahli Parlimen PKR lain menarik sokongan terhadap Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
“Impaknya lebih besar jika mereka bawa usul undi (tidak) percaya di parlimen berbanding demonstrasi 300 ribu orang ahli PAS,” katanya menerusi akaun Facebooknya hari ini.
Tambah Mohd Puad, PAS sendiri pastinya tidak berani membawa usul undi percaya atau tidak percaya kepada Anwar di Parlimen.
Ini kerana, jelas beliau, UMNO pastinya tidak akan menyokong usul itu memandangkan parti tersebut komited mempertahankan kerajaan sedia ada demi rakyat dan kestabilan negara.
“Justeru demonstrasi ;Turun Anwar’ 26 Julai ini hanya tunjuk kekuatan PAS. Impaknya kecil apatah lagi jika tiada penyertaan “civil society” yang menyeluruh,” katanya.
PAS merancang mengadakan Himpunan Selamatkan Malaysia: Turun Anwar yang akan diadakan di ibu negara, 26 Julai ini dengan sasaran penyertaan seramai 300,000 orang dari seluruh negara.
PH umum calon PRN Melaka minggu depan
Kemelut Exco: MB Negeri Sembilan minta selesaikan satu-satu
DNAA: Zahid, AG dapat kebenaran cabar semakan kehakiman Badan Peguam
Aminuddin terkejut 10 Exco saman kerajaan Negeri Sembilan
DUN Sarawak dijangka bubar November, PRN makin dekat
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum