Bursa Malaysia.
Institusi tempatan terus menjadi pemacu utama pasaran saham apabila mencatat belian bersih RM572.9 juta di Bursa Malaysia minggu lalu, sekali gus meneruskan momentum positif untuk enam minggu berturut-turut.
Laporan MBSB Investment Bank Bhd turut menunjukkan pelabur runcit kekal aktif membeli dengan aliran masuk bersih RM339.7 juta, menjadikan minggu lalu sebagai minggu kedua berturut-turut kumpulan itu merekodkan pembelian bersih.
Namun, sentimen berbeza ditunjukkan pelabur asing yang terus menjual pegangan mereka di pasaran tempatan dengan aliran keluar bersih sebanyak RM912.6 juta sepanjang minggu dagangan.
Menurut bank pelaburan itu, pelabur asing menjadi penjual bersih pada setiap hari dagangan minggu lalu, dengan aliran keluar tertinggi direkodkan pada Rabu sebanyak RM329.2 juta.
“Ini diikuti Selasa sebanyak RM256.5 juta, Khamis RM156.5 juta, Isnin RM106.3 juta dan Jumaat RM64.2 juta,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
Dari sudut sektor, pelabur asing hanya membeli saham dalam tiga sektor utama iaitu teknologi dengan aliran masuk RM79.2 juta, pengangkutan dan logistik RM57 juta serta tenaga RM1.3 juta.
Sebaliknya, sektor produk dan perkhidmatan pengguna mencatat aliran keluar asing terbesar sebanyak RM347.4 juta, diikuti utiliti RM214.7 juta dan penjagaan kesihatan RM180.7 juta.
Prestasi itu berlaku ketika pasaran serantau terus berdepan tekanan sentimen global termasuk ketidaktentuan kadar faedah Amerika Syarikat, ketegangan geopolitik serta kebimbangan terhadap pertumbuhan ekonomi dunia.
Untuk rekod, Bursa Malaysia sebelum ini menunjukkan pemulihan sederhana sejak awal tahun dengan sokongan pembelian institusi tempatan, walaupun pelabur asing masih berhati-hati terhadap pasaran negara sedang pesat membangun.
Dalam kalangan lapan pasaran ekuiti Asia yang dipantau, Malaysia turut tersenarai antara pasaran yang mengalami aliran keluar asing minggu lalu.
“Malah, Taiwan menjadi satu-satunya pasaran yang merekodkan aliran masuk asing bersih, manakala Korea Selatan mencatat aliran keluar terbesar diikuti India, Vietnam, Malaysia, Thailand, Indonesia dan Filipina,” katanya lagi.
Ringgit dibuka kukuh, sentimen pasaran global makin positif
Misi Bantuan Gaza diteruskan, GSF akan adu ke Mahkamah Antarabangsa
MCMC arah turunkan lebih 271,000 kandungan scam dan judi online
MCMC perkukuh kerjasama banteras scam dalam talian dengan GASA: Fahmi
Banyak akaun palsu digunakan untuk hasilkan kandungan 3R: Fahmi
[VIDEO] Anwar beri bayangan PRU awal jika berterusan ada ugutan