Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim.
Bekas Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim memilih untuk tidak mengeluarkan sebarang kenyataan buat masa ini susulan keputusan mengejut beliau melepaskan jawatan sebagai Menteri Besar berkuat kuasa semalam.
Ketika dihubungi menerusi WhatsApp hari ini, Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh memaklumkan beliau tidak bercadang mengadakan sidang media atau mengeluarkan kenyataan rasmi berhubung keputusan itu.
“Maaf, tiada sidang media atau kenyataan media daripada saya. Terima kasih atas kerjasama dan persahabatan,” katanya ringkas dipetik laporan BH.
Beliau turut meminta diberikan sedikit ruang untuk menguruskan beberapa keperluan pentadbiran, selain enggan mengulas lanjut mengenai faktor yang mendorong keputusan berkenaan.
Peletakan jawatan Ismail disahkan Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abd Kadir, menerusi kenyataan lewat petang semalam.
Zambry berkata, Ismail sudah mengutuskan surat peletakan jawatan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir, bertarikh 16 November.
Salinan surat berkenaan turut diserahkan kepada Pengerusi BN merangkap Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi.
Keputusan Ismail melepaskan jawatan selepas hanya 106 hari menerajui kerajaan negeri sejak mengangkat sumpah pada 2 Ogos lalu mencetuskan pelbagai persoalan, khususnya mengenai perkembangan sebenar krisis adat dan pentadbiran yang melanda Negeri Sembilan.
Ini kerana beberapa hari sebelum peletakan jawatan itu, Ismail memaklumkan perkembangan positif dicapai dalam usaha menyelesaikan kemelut berkenaan.
Malah, beliau sebelum ini menyatakan komitmen memastikan persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) yang dicadangkan pada 26 November ini dapat berlangsung, diikuti pembentangan Belanjawan Negeri 2027.
Bagaimanapun, perkembangan pada Sabtu lalu menambah perhatian terhadap krisis berkenaan apabila Ismail mengesahkan beliau bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (EXCO) sudah menghantar surat menarik balik persembahan maklum kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung status Tuanku Muhriz sebagai Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan.
Beliau ketika itu berharap tindakan berkenaan dapat membantu menyelesaikan kemelut yang sedang berlaku.
Dalam perkembangan sama, timbul spekulasi Ismail mungkin dinasihatkan pihak tertentu supaya melepaskan jawatan.
Sumber mendakwa Ismail sebenarnya tidak bersedia untuk berundur dan masih mahu menyelesaikan krisis berkenaan.
Malah, beliau dikatakan sudah memperoleh tarikh menghadap Tuanku Muhriz bagi menyembah maklum mengenai tarikh persidangan DUN akan datang.
“Ikutkan tarikh menghadap (Tuanku) sudah ada. Tak tahulah, kami pun terkejut dengan peletakan jawatan beliau ini,” menurut sumber.
Untuk rekod, Ismail pernah berkhidmat sebagai ADUN Senaling dan Juasseh serta memegang beberapa portfolio EXCO kerajaan negeri sejak 1999 hingga 2026.
AMK: Pantun Ahmad Maslan biadab, patut letak jawatan terus
Jalaluddin Alias hangat disebut bakal jadi MB Negeri Sembilan: Laporan
Istana Negeri Sembilan belum sahkan surat peletakan jawatan Ismail Lasim
Pantun ‘kencing’ Mat Maslan makan diri, bukankah UMNO juga dalam kerajaan?
Anwar: Kerajaan masih stabil, jangan layan spekulasi liar
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron