Krisis politik Negeri Sembilan.
Istana Negeri Sembilan memaklumkan belum mengesahkan ketulenan surat peletakan jawatan Ismail Lasim sebagai Menteri Besar, meskipun salinan surat berkenaan sudah diserahkan kepada Istana Hinggap di Seremban, pagi Selasa.
Penjelasan itu dibuat menerusi kenyataan akhbar Pengelola Bijaya Diraja Negeri Sembilan pada 17 November 2026 susulan pengumuman Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Zambry Abdul Kadir, mengenai peletakan jawatan Ismail pada malam Isnin.
Menurut kenyataan itu, Istana mengambil maklum kenyataan Zambry yang dimuat naik di media sosial sekitar jam 10 malam, 16 November, serta salinan surat peletakan jawatan yang berada dalam milikannya.
Bagaimanapun, surat berkenaan hanya diserahkan kepada Istana Hinggap pada jam 12.16 tengah hari, Selasa, oleh seorang individu yang memperkenalkan dirinya sebagai Hamidi daripada firma guaman Shahrul Hamidi & Haziq.
Istana turut menjelaskan, mengikut Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan, sebarang peletakan jawatan Menteri Besar perlu dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan dan hanya berkuat kuasa sekiranya diperkenankan baginda.
Dalam perkembangan sama, Setiausaha Sulit telah menghubungi Ismail menerusi WhatsApp pada jam 8.38 malam bagi memaklumkan perkenan supaya beliau menghadap Yang di-Pertuan Besar pada 20 November, jam 10 pagi.
Ismail dilaporkan telah mengakui menerima jemputan berkenaan.
Istana turut menjelaskan perkenan menghadap itu diberikan kira-kira 80 minit sebelum Zambry membuat siaran di Facebook mengenai peletakan jawatan berkenaan.
Perkembangan itu menimbulkan persoalan mengenai status sebenar kedudukan Ismail sebagai Menteri Besar, memandangkan Istana masih belum mengesahkan ketulenan surat yang dikatakan ditandatangani beliau.
Untuk rekod, Ismail mengangkat sumpah sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan pada 2 Ogos lalu, menjadikannya antara tempoh pentadbiran paling singkat bagi penyandang jawatan itu, iaitu kira-kira 106 hari sekiranya peletakan jawatannya disahkan.
Pelantikannya sebelum ini berlaku ketika kemelut politik dan pentadbiran negeri, khususnya berkaitan isu adat serta kedudukan institusi kepimpinan Negeri Sembilan.
Ismail sebelum ini turut berdepan tekanan politik susulan perkembangan kemelut berkenaan, termasuk tindakan beliau bersama 10 Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menarik balik persembahan maklum kepada Yang di-Pertuan Besar.
Beliau sebelum ini menyatakan perkembangan positif dalam usaha menyelesaikan kemelut itu dan komited meneruskan urusan pentadbiran negeri, termasuk persidangan Dewan Undangan Negeri pada 26 November serta pembentangan Belanjawan 2027.
Ismail yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Juasseh sebelum ini memilih untuk tidak mengulas lanjut mengenai kedudukannya dan meminta ruang bagi menguruskan keperluan pentadbiran.
Perhatian kini tertumpu kepada pertemuan Ismail dengan Yang di-Pertuan Besar pada 20 November ini, yang dijangka menjadi perkembangan penting dalam menentukan kedudukan sebenar jawatan Menteri Besar Negeri Sembilan.
AMK: Pantun Ahmad Maslan biadab, patut letak jawatan terus
Ismail Lasim pilih untuk berdiam diri selepas letak jawatan MB: Laporan
Pantun ‘kencing’ Mat Maslan makan diri, bukankah UMNO juga dalam kerajaan?
Anwar: Kerajaan masih stabil, jangan layan spekulasi liar
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 17 Nov – Ismail letak jawatan, kerajaan Madani stabil dan lawatan Macron