MCMC rakam keterangan tiga lagi individu berkaitan isu hantaran palsu melibatkan insiden di Perak baru-baru ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) mengambil keterangan tiga individu berhubung penyebaran hantaran palsu berunsur perkauman yang dimuat naik di platform media sosial Facebook dan TikTok baru-baru ini.
Menurut kenyataan MCMC, hantaran tersebut berkaitan langsung dengan insiden seorang wanita yang menaiki pentas utama semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat Negeri Perak di Ipoh pada 31 Ogos lalu.
Hantaran viral itu mendakwa kononnya wanita terbabit berbangsa Cina, sedangkan maklumat tersebut adalah tidak benar sama sekali.
Rakaman keterangan itu dijalankan pada Rabu, 3 September, di tiga lokasi berbeza iaitu Balai Polis Kuala Nerang di Kedah, Balai Polis Beserah di Kuantan, Pahang, serta Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Timur Laut di Pulau Pinang.
Dalam operasi berkenaan, pihak berkuasa turut menyita tiga unit telefon bimbit, tiga keping kad SIM, dan satu kad memori bagi tujuan analisis forensik digital.
Kes ini disiasat mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM500,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun, atau kedua-duanya sekali, jika disabitkan kesalahan.
MCMC juga mengingatkan orang ramai supaya sentiasa memastikan kesahihan sesuatu maklumat sebelum dikongsi atau disebarkan di media sosial bagi mengelakkan berita palsu yang boleh mengancam keharmonian dan kestabilan negara.
Tindakan tegas ini merupakan sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan dalam menangani isu sensitif berkaitan agama, kaum, dan institusi diraja (3R) yang sering dimanipulasi di ruang digital.
Baru-baru ini, negara gempar dengan insiden seorang wanita yang naik ke pentas dan cuba mendekati Sultan Perak, Sultan Nazrin Shah, semasa sambutan Hari Kebangsaan peringkat negeri di Ipoh.
Video kejadian itu tular di media sosial dan mencetuskan pelbagai tanggapan negatif serta salah faham dalam kalangan netizen, terutamanya apabila ada pihak yang menyebarkan dakwaan berunsur perkauman mengenai identiti wanita terbabit.
Kerajaan perangi judi haram secara lebih agresif: PMX
Dewan Rakyat diberitahu lebih 21,000 remaja hamil luar nikah sejak 2019
Pembinaan rumah ibadat perlu mengikut lunas perundangan, titah Agong
Majoriti pengguna RON95 guna bawah 200 liter sebulan: Anwar
Kedudukan CPI Malaysia meningkat, usaha lawan rasuah tunjuk hasil: Anwar
Kerajaan tegas pantau kandungan AI berbahaya: Nie Ching
[VIDEO] Menteri Pertahanan beri penjelasan isu rasuah ATM di Parlimen