Semua perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd di bawah Kumpulan MYEG sebagai Ejen Pemungut JPJ digantung.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke akan mengadakan sidang media esok bagi menjelaskan isu penggantungan perkhidmatan MyEG Sdn Bhd dan Zetrix AI Bhd sebagai ejen kutipan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Sidang media itu dijadualkan berlangsung pada jam 11 pagi di Kementerian Pengangkutan, Putrajaya.
Penggantungan membabitkan kedua-dua syarikat di bawah kumpulan MYEG itu dijangka menjadi perhatian susulan pendedahan mengenai tunggakan hasil kutipan yang masih belum diserahkan kepada kerajaan.
Sebelum ini, JPJ mengumumkan perkhidmatan My EG dan Zetrix AI sebagai ejen kutipan jabatan itu akan digantung berkuat kuasa esok.
Ketua Pengarah JPJ, Aedy Fadly Ramli berkata, keputusan itu dibuat selepas mengambil kira aspek pematuhan terhadap terma dan syarat perjanjian serta tanggungjawab syarikat yang masih belum dipenuhi atau diselesaikan.
“Susulan keputusan ini, semua perkhidmatan JPJ yang sebelum ini ditawarkan melalui saluran Kumpulan MYEG turut akan digantung,” katanya seperti dilaporkan sebelum ini.
Isu itu menjadi lebih serius selepas Kementerian Pengangkutan mengesahkan kepada portal perniagaan The Edge terdapat tunggakan hasil melebihi RM200 juta yang masih belum diserahkan kepada kerajaan oleh Zetrix AI.
Tunggakan itu dikaitkan dengan wang yang dikutip daripada pelanggan bagi urusan pembaharuan cukai jalan, pembaharuan lesen memandu serta pembayaran saman trafik.
Laporan The Straits Times yang memetik dokumen rasmi pula menyebut tunggakan kutipan berkenaan dikesan sejak kontrak tiga tahun antara Zetrix AI dan JPJ bermula pada Mei 2023.
Perkembangan itu turut menimbulkan persoalan mengenai pengurusan kutipan hasil serta pematuhan syarat kontrak bagi perkhidmatan digital kerajaan.
Zetrix AI sebelum ini dikenali sebagai MYEG Services Bhd dan kumpulan berkenaan sudah menyediakan pelbagai perkhidmatan dalam talian kerajaan, termasuk urusan berkaitan JPJ, sejak 2000.
Sidang media Loke esok dijangka memberi penjelasan lebih lanjut mengenai kedudukan perkhidmatan JPJ yang terjejas, isu tunggakan hasil serta tindakan susulan kementerian terhadap syarikat terbabit.
PTPTN perinci penangguhan bayaran balik, umum tidak lama lagi
Anwar: Ahli politik dilarang campur tangan pelaburan GLIC
MCA tak puas hati: BN wajar pertimbang pilihan solo, elak terikat rundingan kerusi
KPKT batalkan 28,401 lesen, warga asing berniaga haram diburu
Ekonomi Malaysia kukuh, ringgit dijangka cecah RM3.97: Hong Leong Bank
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum