Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim.
Menteri Besar tidak mempunyai kuasa secara unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sebaliknya perkara itu tertakluk kepada Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan (UUTKNS) 1959.
Menteri Besar Negeri Sembilan, Ismail Lasim berkata, pendirian itu ditegaskan dalam Mesyuarat Kerajaan Negeri yang berlangsung hari ini ketika timbul isu berkaitan Surat Cara Proklamasi yang didakwa mempunyai kesan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar.
Menurutnya, sebarang tindakan berkaitan kedudukan institusi beraja perlu dibuat berdasarkan sumber kuasa, syarat dan prosedur yang ditetapkan dalam UUTKNS.
“Menteri Besar tidak mempunyai kuasa unilateral untuk menamatkan atau mengosongkan jawatan Yang di-Pertuan Besar.
“Kedudukan dan proses yang berkaitan dengan Yang di-Pertuan Besar adalah perkara yang diperuntukkan secara khusus oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Ismail berkata, Perkara 10 UUTKNS menetapkan kerangka khusus berkaitan tindakan terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar, termasuk proses serta keperluan berkaitan sesuatu proklamasi.
Katanya, kewujudan sesuatu proklamasi tidak secara automatik memberikan kuasa perlembagaan kepada pihak yang mengeluarkannya.
Sebaliknya, kesahihan dan kesan undang-undang sesuatu proklamasi perlu dinilai berdasarkan sumber kuasa serta pematuhan terhadap syarat dan prosedur yang ditetapkan dalam undang-undang tubuh negeri.
“Persoalan yang wajar ditentukan ialah sumber kuasa perlembagaan bagi Proklamasi tersebut, syarat dan prosedur yang ditetapkan oleh Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan serta sama ada kesemua syarat dan prosedur itu telah dipatuhi,” katanya.
Beliau menegaskan isu berkenaan tidak wajar dilihat sebagai pertikaian politik atau peribadi kerana ia menyentuh soal keluhuran perlembagaan dan prinsip Raja Berperlembagaan.
Menurutnya, institusi raja dan adat, Menteri Besar serta Kerajaan Negeri mempunyai kedudukan dan fungsi masing-masing yang telah ditentukan oleh UUTKNS.
Ismail berkata, sebarang pertikaian berkaitan perkara itu perlu diselesaikan melalui saluran perlembagaan dan undang-undang yang sah, termasuk penentuan kehakiman sekiranya diperlukan.
“Apa yang perlu dipertahankan bukan kepentingan mana-mana individu, tetapi keluhuran Perlembagaan, kepastian undang-undang dan kesinambungan institusi Raja Berperlembagaan.
“Undang-Undang Tubuh mesti menjadi asas. Proses perlembagaan mesti dihormati. Institusi mesti dipelihara,” katanya.
Beliau turut menegaskan komitmen menghormati Institusi Yang di-Pertuan Besar, Undang Yang Empat serta Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Isu itu mendapat perhatian susulan dakwaan berkaitan Surat Cara Proklamasi yang dikatakan mempunyai implikasi terhadap kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, sekali gus mencetuskan persoalan mengenai bidang kuasa perlembagaan dalam perkara berkenaan.
Hujah Badan Peguam cabar tahanan rumah Najib didengar 17 Mac 2027
Menang di Melaka, Mahfuz desak BN-PN umum pakatan
Kuasa pengampunan Agong tidak boleh dicabar: AGC
Bukan kerajaan sebar dokumen pengampunan Najib, jangan buat tohmahan
PAS masih jadi rebutan, Idris persoal pihak yang mahu kerjasama
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 20 Nov – UMNO-BN Tipu Isu Ismail Lasim, Himpunan bantah isu Najib
[VIDEO] Berita Utama Agenda Daily | 18 Nov – Ismail menghadap Tuanku Muhriz, AMK bidas Mat Maslan