Timbalan Setiausaha Agung PKR, Saifuddin Shafi Muhammad mengingatkan Presiden UMNO, Ahmad Zahid Hamidi supaya tidak bersikap angkuh sambil mendakwa parti itu masih memerlukan kepimpinan Perdana Menteri, Anwar Ibrahim untuk memulihkan keyakinan rakyat serta mengekalkan kedudukannya dalam Kerajaan Perpaduan.
Saifuddin berkata tindakan beberapa pemimpin kanan UMNO yang segera menggesa Perdana Menteri memecat menteri dan timbalan menteri daripada parti itu susulan teguran berkaitan kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Negeri Sembilan memberi gambaran teguran tersebut sememangnya berasas.
“Teguran Perdana Menteri amat jelas ditujukan kepada mereka yang menyerang Kerajaan Perpaduan. Agak menghairankan apabila ramai pemimpin kanan UMNO begitu responsif meminta Perdana Menteri menggunakan kuasa beliau untuk menggugurkan Menteri dan Timbalan Menteri UMNO.
“Reaksi itu seolah-olah mengesahkan teguran Perdana Menteri itu memang berasas malah secara tidak langsung mengakui wujud serangan bawah tanah terhadap komponen dalam Kerajaan Perpaduan,” katanya kepada Malaysia Gazette.
Menurutnya, teguran Perdana Menteri bukan ditujukan kepada mana-mana individu secara peribadi, sebaliknya bertujuan mengelakkan pertembungan di peringkat nasional supaya Kerajaan MADANI dapat terus memberi tumpuan kepada pentadbiran negara.
Mengulas kenyataan Ahmad Zahid semalam, Saifuddin mendakwa Timbalan Perdana Menteri itu tidak sepatutnya bercakap dengan nada angkuh seolah-olah UMNO kembali memperoleh sokongan padu orang Melayu.
“Apabila nada Ahmad Zahid kedengaran angkuh kerana menganggap UMNO sudah mendapat sokongan orang Melayu, itu tidak betul.
“Monkey see, monkey do. Sebab itu pemimpin bawahan UMNO semakin galak memekik dan menyerang,” katanya.
Beliau turut mendakwa UMNO masih bergantung kepada kepimpinan Anwar untuk memulihkan imej parti selepas diberi peluang menerajui beberapa kementerian penting.
“Sedar diri. Tanpa Perdana Menteri, UMNO ibarat melukut di tepi gantang. UMNO diberi peluang memulihkan imej apabila diberikan pelbagai kementerian penting. Ahmad Zahid sendiri semalam berucap berlatarbelakangkan logo Kemas, belum lagi tanggungjawab menguruskan Felda,” katanya.
Saifuddin turut mendakwa UMNO tidak mampu membawa agenda penyatuan Melayu tanpa sokongan PAS.
“Malah tanpa PAS, tiada siapa pun memandang UMNO. UMNO tidak berjaya menyatukan orang Melayu. Dengan retorik penyatuan yang dibawa PAS, barulah sebahagian orang Melayu kembali memberi perhatian kepada UMNO,” katanya.
Beliau juga mendakwa Ahmad Zahid bernasib baik kerana tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika pentadbiran Mahathir Mohamad.
“Patut bersyukur kerana Ahmad Zahid bernasib baik tidak menjadi Timbalan Perdana Menteri ketika zaman Tun Dr Mahathir. Ketika itu, kena ISA pun beberapa hari sahaja,” katanya.
Mengimbau krisis politik 1998, Saifuddin berkata situasi politik ketika itu jauh berbeza berbanding sekarang kerana rakyat kini mempunyai akses kepada pelbagai saluran maklumat.
“1998 adalah cerita yang berbeza. Zaman pemimpin dijatuhkan melalui tikam-menikam dan jalan belakang telah berlalu. Ketika itu tanpa media sosial pun hampir tumbang Mahazalim. Kali ini, jika perlu, kami akan melawan habis-habisan.
“Kami yakin rakyat akan bersama-sama mempertahankan Perdana Menteri, demokrasi dan kestabilan negara,” katanya.
Kontroversi itu tercetus selepas Ahmad Zahid mengulas peringatan Anwar yang meminta semua menteri dan timbalan menteri daripada parti dalam Kerajaan Perpaduan mengelakkan serangan sesama sendiri sepanjang kempen PRN Negeri Sembilan. Ahmad Zahid kemudian menegaskan Perdana Menteri mempunyai kuasa mutlak untuk melantik atau menggugurkan anggota Kabinet, malah menyatakan beliau dan menteri UMNO sedia menerima sebarang keputusan.
Fahmi: Politik sepatutnya menyatupadukan rakyat, tindakan pemimpin PAS dikritik
Selepas BN enggan kongsi manifesto, PN tampil dengan tawaran sendiri
Aminuddin dakwa manifesto BN tiru tawaran PH, salin dan tukar sahaja
BN-PN tak tergesa-gesa bentuk gabungan, UMNO berhati-hati dengan PAS
Pemuda Amanah lapor polis kenyataan Sanusi, dakwa boleh cetus ketegangan kaum
[VIDEO] Manifesto BN ketinggalan jauh, Aminuddin sifatkan tidak realistik
[VIDEO] Zahid: Elok Sanusi balik Kedah, tak perlu lagi berkempen di NS