Penjara teliti syarat tahanan rumah Najib: Saifuddin Nasution

October 18, 2026 · Politik

Jabatan Penjara Malaysia kini berada di peringkat akhir untuk memuktamadkan peraturan dan syarat pelaksanaan tahanan rumah bagi bekas Perdana Menteri, Najib Razak.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, berkata proses itu sedang dilakukan susulan keputusan pengampunan bersyarat yang membolehkan Najib menjalani baki hukuman kes SRC International di kediamannya.

Bagaimanapun, Najib masih berada di Penjara Kajang kerana belum melunaskan denda RM50 juta yang menjadi antara syarat pelaksanaan tahanan rumah berkenaan.

“Jabatan Penjara Malaysia sedang di fasa akhir, sedang menggubalnya. Negara kita tidak pernah ada (tahanan di rumah) sebelum ini tetapi tiba-tiba ada.

“Dalam surat Urus Setia Lembaga Pengampunan kepada Jabatan Penjara Malaysia, disebut Jabatan Penjara Malaysia bolehlah mengadakan apa-apa syarat,” katanya seperti dilaporkan Bernama.

Menurut Saifuddin, Jabatan Penjara kini sedang membangunkan satu set peraturan khusus kerana kaedah tahanan rumah belum pernah dilaksanakan di negara ini.

Beliau berkata demikian selepas merasmikan program Kampung Angkat MADANI dan Sekolah Angkat MADANI Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Felda Tenang, Jertih, hari ini.

Pada 14 Oktober lalu, peguam Najib, Muhammad Shafee Abdullah, mendakwa anak guamnya sudah menerima prosedur operasi standard (SOP) daripada Jabatan Penjara berhubung pelaksanaan tahanan rumah.

Bagaimanapun, Shafee berkata Najib diminta supaya tidak mendedahkan butiran syarat berkenaan kepada umum atau media bagi mengelakkan spekulasi.

Menurutnya, Najib dijangka menjalani tahanan rumah di kediamannya di Langgak Duta bersama keluarga.

Perkembangan itu mencetuskan persoalan dalam kalangan pemimpin Pakatan Harapan (PH), termasuk Ahli Parlimen Jelutong, RSN Rayer, yang menggesa pihak berkuasa memberikan penjelasan mengenai syarat sebenar tahanan rumah tersebut.

Rayer berkata, ketiadaan maklumat terperinci menimbulkan pelbagai spekulasi mengenai pergerakan, komunikasi dan kehidupan harian Najib sepanjang menjalani hukuman di rumah.

Najib, 73, sebelum ini dijatuhi hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta pada 2020 selepas disabitkan atas tujuh pertuduhan jenayah berkaitan SRC International. Pada 2024, hukumannya dikurangkan kepada enam tahun penjara dan denda RM50 juta.

Pengampunan bersyarat yang diperkenankan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar pada 18 September lalu membolehkan baki hukuman kes SRC dijalani menerusi tahanan rumah sehingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada syarat ditetapkan.

Bagaimanapun, Najib turut menjalani hukuman bagi kes berasingan membabitkan 1Malaysia Development Berhad (1MDB), yang dijadualkan bermula selepas hukuman kes SRC selesai. Pada 14 Oktober lalu, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur menolak permohonannya untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman kes 1MDB sementara menunggu rayuan.

Pelaksanaan tahanan rumah itu kini bergantung kepada pemuktamadan peraturan oleh Jabatan Penjara serta pematuhan terhadap syarat yang ditetapkan.

Berita berkaitan
Mahfuz pertahan mahasiswa bersuara, kritik pemimpin taksub politik
October 21, 2026· Politik
Hutang 1MDB belum selesai, kerajaan masih menanggung: Anwar
October 19, 2026· Politik
Isu video lama tular, JPN jelaskan kahwin sivil bukan ritual agama
October 18, 2026· Isu semasa
Kritik isu penderma Najib, UM nafi mahasiswa dikenakan tindakan
October 17, 2026· Isu semasa
Lagi Politik terkini
Ismail Lasim nafi letak jawatan MB Negeri Sembilan
9 jam lalu · Politik
Mahkamah gantung notis batal pendaftaran PN
16 jam lalu · Politik
12 tuntutan MA63 dalam empat tahun berjaya diselesaikan: Mustapha
16 jam lalu · Politik
Isu DAP: Amanah minta PAS hentikan politik sentimen
17 jam lalu · Politik
Adly: PH tidak tanding semua kerusi di Melaka
17 jam lalu · Politik
Video / Foto
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum
September 2, 2026
[VIDEO] Myanmar setuju terima 1,476 pelarian hujung September daripada 5,000 nama disaring KDN
September 2, 2026

Agenda Daily

Berita tepat dan menyeluruh.

Umum

Tentang kami

Hubungi kami

Penafian

Sosial media

Facebook

Twitter

Youtube

Instagram

TikTok