Mahfuz Omar.
Naib Presiden Parti Amanah, Mahfuz Omar menyifatkan naratif Presiden PAS, Abdul Hadi Awang mengenai ancaman terhadap Melayu dan Islam sebagai politik ketakutan yang tidak membantu membina keyakinan rakyat terhadap masa depan.
Mahfuz berkata dakwaan DAP memimpin Pakatan Harapan (PH) untuk “menyambung kerja penjajah menghapuskan Melayu Islam” hanya akan menimbulkan kebimbangan dan permusuhan antara masyarakat.
Menurutnya, kedudukan Islam sebagai agama Persekutuan, institusi Raja-Raja Melayu, Bahasa Melayu serta kedudukan orang Melayu sudah dijamin Perlembagaan dan tidak wajar digambarkan seolah-olah semuanya sedang terancam.
“Jangan jadikan rumah yang masih kukuh seolah-olah sudah terbakar hanya untuk menakutkan penghuninya,” katanya dalam kenyataan.
Mahfuz turut mempersoalkan kecenderungan PAS melabel pihak yang berbeza pandangan politik sebagai alat musuh atau ancaman kepada Melayu dan Islam.
Katanya, jika setiap pihak yang tidak sehaluan dengan PAS dianggap musuh, pendekatan itu bukan menyatukan umat, sebaliknya berpotensi memecahkan masyarakat.
Beliau turut menolak perbandingan DAP dengan People’s Action Party (PAP) di Singapura serta dakwaan ancaman terhadap kedudukan Melayu di Malaysia.
“Malaysia ada Perlembagaan, Raja-Raja Melayu, kedudukan Islam dan institusinya sendiri. Jangan tukar sejarah menjadi filem seram politik setiap kali mahu menakutkan rakyat,” katanya.
Dalam pada itu, Mahfuz berkata orang Melayu tidak sepatutnya dianggap lemah hanya kerana bekerjasama dengan kaum lain atau memilih parti politik selain PAS.
Menurutnya, Islam bukan milik mana-mana parti, begitu juga identiti Melayu tidak boleh dijadikan hak eksklusif sesebuah organisasi politik.
Mahfuz turut mengkritik penggunaan ayat al-Quran dalam polemik politik, dengan menegaskan al-Quran sepatutnya menjadi petunjuk dan bukan digunakan sebagai senjata untuk menggambarkan lawan politik sebagai musuh Islam.
Beliau berkata perpaduan Melayu juga perlu mempunyai matlamat lebih besar seperti memperkukuh pendidikan, ekonomi, penguasaan teknologi, membanteras rasuah dan meningkatkan daya saing generasi muda.
“Kalau perpaduan Melayu hanya menjadi kuat apabila ada kaum lain untuk ditakutkan, itu bukan perpaduan. Itu persekutuan ketakutan,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan rekod hubungan politik PAS dengan UMNO dan Bersatu pernah berubah mengikut perkembangan politik semasa.
Katanya, ketika PAS bekerjasama dengan UMNO, DAP tidak pula menjadi punca hubungan itu, begitu juga ketika berlaku pergeseran PAS dengan Bersatu.
“Sekarang bila Pak Haji mahu rujuk balik dengan UMNO, tiba-tiba DAP pula dituduh mengusik. Sebenarnya Pak Haji yang membela politik ketakutan itu,” katanya.
Mahfuz berkata cabaran sebenar orang Melayu bukan sekadar mencari musuh politik, sebaliknya memastikan mereka mampu menguasai ekonomi baharu, teknologi termasuk kecerdasan buatan (AI), pendidikan dan peluang pekerjaan masa depan.
“PAS mahu Melayu sibuk mencari musuh. Kami mahu Melayu sibuk membina masa depan,” katanya.
Kenyataan Mahfuz itu muncul susulan tulisan Abdul Hadi yang mengaitkan DAP dan PH dengan dakwaan ancaman terhadap kedudukan Melayu serta Islam, selain menyeru penyatuan politik Melayu.
Mahfuz menegaskan masa depan Melayu tidak akan terjamin melalui ketakutan, sebaliknya melalui ilmu, keyakinan, integriti dan kemampuan bersaing.
“Pemimpin yang hebat tidak membesarkan ketakutan rakyat. Pemimpin yang hebat membesarkan keyakinan rakyat,” katanya.
Ahli datang dan pergi, PKR terus diperkukuh: AMK
Wanita PKR perlu bangkit, turun padang dekati pengundi: Fadhlina
PKR beri ruang Nurul Izzah sambung pengajian, tiada had masa: Fuziah
Jangan biar perpecahan lemahkan PKR: Nurul Izzah
AMK tegur politik ‘berselingkuh’ dalam Kerajaan Perpaduan
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri
[VIDEO] Anak perantauan digesa balik, undi calon PH demi masa depan Negeri Sembilan