Muhammad Kamil Abdul Munim.
Ketua Angkatan Muda Keadilan (AMK), Muhammad Kamil Abdul Munim menafikan dakwaan kononnya beliau menyalahgunakan aset kerajaan ketika menghadiri lawatan rasmi ke Kelantan bersama Perdana Menteri pada April lalu.
Kamil yang juga Setiausaha Politik kepada Menteri Kewangan menjelaskan kehadirannya dalam lawatan itu adalah bagi melaksanakan tugasan rasmi mengiringi Perdana Menteri ke beberapa program yang telah dijadualkan.
Menurutnya, beliau ditugaskan menghadiri beberapa acara termasuk perasmian Terminal Baharu Lapangan Terbang Sultan Ismail Petra, majlis ramah mesra bersama masyarakat di Masjid Gong Chapa serta Konvensyen Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Kota Bharu.
“Saya ditugaskan untuk menemani Perdana Menteri menghadiri beberapa acara di Kelantan. Bukan saya yang guna, saya cuma mengikut Perdana Menteri atas kapasiti sebagai Setiausaha Politik dalam menjalankan tugas,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.
Beliau mengulas dakwaan yang tular di media sosial mengaitkan dirinya dan Penasihat Kanan Perdana Menteri, Tengku Zafrul Abdul Aziz, kononnya menggunakan jet rasmi kerajaan bagi tujuan politik dan kepentingan peribadi.
Kamil menegaskan, tuduhan itu tidak berasas kerana beliau tidak pernah menggunakan kemudahan kerajaan untuk urusan peribadi, sebaliknya hanya menjalankan tanggungjawab rasmi sebagai pegawai yang mengiringi Perdana Menteri.
Pada masa sama, beliau mengingatkan orang ramai supaya lebih berhati-hati sebelum mempercayai atau menyebarkan sesuatu maklumat yang tular di media sosial.
“Semua di luar sana, termasuk netizen dan pengguna TikTok, perlu berhati-hati. Dalam zaman teknologi hari ini, ada pihak yang mengolah cerita dan memutar belit fakta demi kepentingan tertentu.
“Dalam kes ini, ia cuba menyerang saya secara peribadi dengan memberi gambaran seolah-olah saya menyalahgunakan aset kerajaan,” katanya.
Beliau turut menggesa masyarakat menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum membuat sebarang kesimpulan, terutama ketika suasana politik semakin hangat menjelang pilihan raya.
“Seperti pesanan al-Quran mengenai bahaya fitnah, kesannya amat besar. Sebelum menerima sesuatu berita atau kenyataan, siasat dan teliti dahulu, lebih-lebih lagi ketika musim pilihan raya,” katanya.
Rafizi teruskan saman fitnah terhadap Caprice kerana dakwaan rasuah
Syahredzan cadang peruntukan Ahli Parlimen ikut jumlah pengundi
Jika BN-PH bersama, saya tak bertanding PRN Melaka: Akmal
PH-BN mungkin runding kerusi elak pertembungan di Melaka: Saifuddin
Gobind mahu peruntukan Ahli Parlimen bebas diskriminasi
[VIDEO] AUKU wajib dimansuhkan, PMX sifatkan hubungan dengan Zahid masih baik
[VIDEO] Dakwaan aset TH dijual kepada bukan Islam satu fitnah jahat, bidas menteri