Ahmad Zahid Hamidi.
Pengerusi Barisan Nasional (BN), Ahmad Zahid Hamidi, memberi peringatan tegas kepada parti komponen supaya tidak menyesal sekiranya memilih untuk meninggalkan gabungan itu, sambil menegaskan BN tidak akan menerima mereka kembali.
Walaupun tidak menamakan mana-mana parti, kenyataan itu dilihat merujuk kepada MIC yang kini berdepan ketegangan dalaman berhubung kedudukannya dalam BN.
Zahid berkata, hubungan persahabatan dan kesetiaan lebih tujuh dekad dalam BN sepatutnya dihargai, bukan diketepikan hanya kerana rasa tidak puas hati atau dorongan kuasa.
“Jangan buat keputusan hanya kerana ‘mabuk kuasa’ dan lupa bahawa kita sudah menjadi kawan lebih 70 tahun. Saya bimbang ada pihak yang akhirnya berada dalam keadaan gantung tidak bertali,” katanya ketika berucap merasmikan Perhimpunan Agung Barisan Kemajuan India Se-Malaysia (IPF Malaysia) di Setia Ecohill, hari ini.
Beliau yang juga Timbalan Perdana Menteri menegaskan politik bukan medan untuk membuat keputusan ketika emosi tidak stabil.
Menurutnya, keputusan besar perlu dibuat dengan sabar dan rasional kerana landskap politik sentiasa berubah dan menuntut kebijaksanaan jangka panjang.
Dalam nada menyindir, Zahid turut menyatakan terdapat pihak tertentu yang sebelum ini menjauhkan diri daripada Kerajaan Perpaduan dan Kerajaan Madani, namun apabila kerajaan menjadi stabil, mereka mula mendakwa dipinggirkan dan dianaktirikan.
“Sebelum ini tidak mahu mendekat, bila keadaan sudah stabil, baru kata tidak diberi tempat. Ini realiti politik yang perlu dinilai secara jujur,” katanya.
Ketika ditanya media selepas majlis berkenaan sama ada MIC telah menghantar sebarang resolusi rasmi untuk keluar daripada BN, Zahid berkata beliau tidak menerima sebarang surat atau resolusi setakat ini dan BN juga belum membuat keputusan mengenai perkara tersebut.
“Jika MIC tidak dapat membuat keputusan, BN akan membuat keputusan berhubung perkara itu,” katanya.
Beliau turut memaklumkan tiada pertemuan diadakan antara kedua-dua pihak selepas Mesyuarat Perwakilan Perhimpunan Agung Tahunan MIC ke-79 bulan lalu.
Dalam mesyuarat itu, perwakilan MIC dilaporkan meluluskan usul untuk keluar daripada BN dan menyertai Perikatan Nasional, namun keputusan muktamad ditangguhkan sehingga Mesyuarat Jawatankuasa Kerja Pusat akan datang bagi memberi ruang kepada kepimpinan tertinggi membuat pertimbangan menyeluruh.
Chean Chung sertai parti Rafizi selepas letak jawatan MP Petaling Jaya
MYEG digantung bukan isu politik: Loke
Lee Chean Chung letak jawatan, kerusi Petaling Jaya disahkan kosong
PN cabar RoS di mahkamah, mahu kepastian sebelum PRN Melaka
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum