Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).
Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sedang meneliti kemungkinan melaksanakan pengecualian bayaran balik pinjaman PTPTN kepada graduan Ijazah Sarjana Muda Kelas Pertama daripada golongan B40 dan M40 di Institusi Pengajian Tinggi Swasta (IPTS).
Menteri Pendidikan Tinggi, Zambry Abdul Kadir, menegaskan kajian teliti diperlukan memandangkan sistem penilaian akademik di IPTS tidak seragam berbanding di Institusi Pengajian Tinggi Awam (IPTA).
“Ini tidak bermakna kerajaan menolak kemungkinan itu, tetapi kita perlu memastikan mekanisme diguna pakai bagi IPTS adalah adil, tepat dan mengambil kira perbezaan sistem penilaian yang wujud antara institusi,” jelasnya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2026 bagi kementeriannya di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau mengingatkan bahawa buat masa ini, dasar pengecualian tersebut hanya diberikan kepada graduan kelas pertama daripada kumpulan B40 dan M40 di IPTA.
Sementara itu, Zambry turut mendedahkan kerajaan sedang dalam proses menyelaras semula keseluruhan ekosistem Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET).
Antara teras utama pembaharuan ini ialah memperkenalkan konsep ’embedded AI’ dengan menerapkan unsur kecerdasan buatan dalam semua kurikulum TVET.
Usaha ini diperkukuh lagi melalui kerjasama strategik dengan pemain industri global seperti Geely dan BYD.
“Kerjasama ini merangkumi pemindahan teknologi, latihan tenaga pengajar, dan pembangunan kurikulum bersama bagi meningkatkan kebolehpasaran graduan,” ujarnya.
Selain itu, KPT juga akan memperkenalkan subjek Mata Pelajaran Umum (MPU) baharu yang menumpukan pembinaan adab, tasawwur dan worldview pelajar.
“Pendekatan baharu ini akan menghubungkan pembinaan karakter dari peringkat sekolah dengan kesinambungan pembinaan akal budi di universiti,” tambah Zambry, dalam usaha melahirkan graduan yang seimbang dari segi kemahiran dan sahsiah.
RUU PSB perlu dibaiki demi hak penduduk, UMNO tak tolak pembangunan: Asyraf
Saluran aduan media kini dibuka, fokus profesional dan telus: Fahmi
X ambil langkah tingkat keselamatan, beri kerjasama baik: Fahmi
Kerajaan tarik balik RUU Pembaharuan Bandar untuk penambahbaikan: Fahmi
Kerajaan perhalusi persiapan pelajar tahun 1 dan laluan IPTA pelajar
[VIDEO] Ekonomi negara catat pertumbuhan kukuh, ringgit dan bursa meningkat
[VIDEO] Kalau ada tak terima bahasa Melayu, lebih baik jangan duduk di Malaysia: Agong