1Malaysia Develoment Berhad (1MDB).
Kerajaan telah membayar RM42.5 bilion bagi menampung hutang dan pelbagai komitmen berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB) sehingga 30 Jun lalu, sekali gus memperlihatkan skandal kewangan itu masih memberi kesan besar kepada kedudukan fiskal negara.
Timbalan Menteri Kewangan Liew Chin Tong berkata, jumlah itu merangkumi bayaran prinsipal, faedah, kos guaman, kos operasi serta komitmen lain yang terpaksa ditanggung kerajaan selepas isu 1MDB terbongkar.
Selain bayaran yang telah dibuat, kerajaan masih perlu menanggung Sukuk Islamic Medium-Term Note (IMTN) bernilai RM8.9 bilion yang dijamin kerajaan dan akan matang pada 2039.
Beliau berkata, sukuk tersebut melibatkan prinsipal RM5 bilion serta faedah berjumlah RM3.9 bilion.
“Secara keseluruhannya, tanggungan 1MDB yang telah dan masih perlu ditanggung kerajaan berjumlah RM51.4 bilion,” katanya ketika menjawab soalan Chong Chieng Jen di Dewan Rakyat, hari ini.
Menurut Chin Tong, kerajaan setakat ini berjaya mendapatkan semula dana dan aset berkaitan 1MDB berjumlah RM31.3 bilion melalui pelbagai proses undang-undang serta rundingan dengan pihak berkaitan di dalam dan luar negara.
“Sekiranya tiada lagi pemulangan dana pada masa hadapan, kerajaan masih terpaksa menanggung baki sebanyak RM20.1 bilion daripada keseluruhan obligasi berkenaan,” katanya.
Skandal 1MDB sebelum ini menjadi antara kes penyelewengan kewangan terbesar negara, melibatkan dakwaan dana syarikat pelaburan strategik milik kerajaan itu disalah guna menerusi rangkaian transaksi antarabangsa.
Kes tersebut turut mencetuskan siasatan di beberapa negara dan membawa kepada usaha pemulihan aset yang berterusan oleh kerajaan Malaysia bersama pihak berkuasa luar negara.
Mengulas tindakan mendapatkan semula aset, Chin Tong berkata kerajaan meneruskan pendakwaan jenayah dan sivil terhadap Najib Razak, selain saman sivil terhadap Rosmah Mansor.
Kerajaan juga mengambil tindakan jenayah dan sivil terhadap Low Taek Jho atau Jho Low, yang didakwa menjadi dalang utama penyelewengan dana 1MDB.
Turut berdepan tindakan sivil ialah Tarek Obaid dan Patrick Mahony, yang dikaitkan dengan urusan melibatkan dana 1MDB.
Usaha mendapatkan semula aset dan dana berkaitan 1MDB masih diteruskan bagi mengurangkan beban kewangan yang ditanggung rakyat serta memastikan pihak terlibat dipertanggungjawabkan.
Ab Rauf titip tiga pesan sebelum DUN Melaka dibubar
PUTRA lapor polis, dakwa Exco Negeri Sembilan ganggu institusi Raja
Amanah mahu MB Negeri Sembilan bubar DUN
RM50 juta belum dibayar, Najib masih tunggu proses tahanan rumah: Laporan
MB: Exco Negeri Sembilan masih sah, tidak perlu senarai baharu
[VIDEO] Tiada kompromi drama sentuh sensitiviti agama, kaum