Skandal kewangan terbesar dalam sejarah negara melibatkan 1MDB dan SRC.
Kerajaan berjaya memperoleh semula sebanyak RM29.7 bilion dana yang dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Bhd (1MDB) dan SRC International Sdn Bhd sejak penubuhan Akaun Amanah Pemulangan Aset pada tahun 2018.
Menteri Kewangan, Anwar Ibrahim memaklumkan daripada jumlah tersebut, RM10.9 bilion berjaya diperoleh dalam tempoh 2022 hingga 30 Jun 2025.
Setakat 31 Julai 2025, kerajaan sudah menyalurkan RM42.17 bilion untuk membayar hutang 1MDB, termasuk RM15.44 bilion daripada peruntukan kementerian dan Menteri Kewangan Diperbadankan (MOF Inc), serta RM26.73 bilion hasil pemulangan aset.
“Daripada jumlah itu, RM28.93 bilion digunakan untuk membayar prinsipal hutang 1MDB, manakala RM13.24 bilion diperuntukkan bagi bayaran faedah dan komitmen lain syarikat,” jelas Anwar dalam jawapan bertulis kepada Dr. Wan Azizah Wan Ismail (PH–Bandar Tun Razak) di Parlimen hari ini.
Anwar turut mendedahkan baki hutang 1MDB yang perlu diselesaikan sehingga 2039 berjumlah RM9.02 bilion, termasuk RM5 bilion prinsipal dan RM4.02 bilion faedah ke atas Sukuk Nota Jangka Sederhana Islam.
Bagi SRC International, kerajaan sudah membelanjakan RM5.35 bilion bagi menampung prinsipal, faedah, dan komitmen kewangan lain syarikat tersebut.
Anwar menegaskan usaha pemulihan dana 1MDB dan SRC masih berterusan, namun ia merupakan proses yang rumit dan memakan masa kerana melibatkan kerjasama dengan pelbagai agensi tempatan dan antarabangsa, termasuk prosiding mahkamah dan rundingan penyelesaian.
“Kerajaan tetap komited untuk memaksimumkan pemulihan dana yang diseleweng bagi menyelesaikan semua obligasi hutang 1MDB dan SRC dalam tempoh yang ditetapkan,” tegasnya.
Dengan pemulihan berterusan ini, kerajaan berharap dapat mengurangkan beban kewangan negara akibat skandal yang telah menjejaskan ekonomi Malaysia selama bertahun-tahun.
Ringgit dibuka tinggi menjelang PRN Negeri Sembilan: Bernama
MCMC perkukuh penyampaian perkhidmatan kerajaan menerusi Program MADANI Kita
Tiada pemimpin boleh hina mana-mana kaum, PM ingatkan Sanusi
Anwar yakin Kabinet setuju dedah laporan RCI Tabung Haji
MCMC siasat kandungan hina Islam di Facebook
[VIDEO] Khalid Samad lekeh Bersatu macam budak-budak, banyak mana pengalaman dia dengan saya?
[VIDEO] Nasir Rahman tekad bantu peniaga dan anak muda Bagan Pinang jika dipilih