Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim.
Ahli Parlimen Pasir Gudang, Hasan Abdul Karim membangkitkan persoalan serius mengenai ketelusan siasatan kes rasuah apabila mendakwa wujud persepsi dalam kalangan rakyat bahawa tidak semua kes diberi layanan sama oleh pihak berkuasa.
Beliau berkata, walaupun kerajaan sering menegaskan komitmen untuk memerangi rasuah, realitinya di mata awam menunjukkan ada kes yang disiasat dan didakwa dengan pantas, manakala sebahagian lagi kelihatan perlahan atau langsung tidak bergerak.
Situasi itu, menurutnya, memberi kesan kepada keyakinan rakyat serta prestasi negara dalam Indeks Persepsi Rasuah (CPI) yang masih belum menunjukkan peningkatan ketara.
“Persepsi di luar sana melihat ada kes cepat disiasat, ada kes lambat disiasat, kadang-kadang tidak disiasat langsung. Ada kes cepat dituduh, ada kes tidak dituduh,” katanya ketika membahaskan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja di Dewan Rakyat.
Hasan turut menyentuh tanggapan kes melibatkan pihak di luar kerajaan sering disiasat lebih pantas berbanding kes yang dikaitkan dengan pihak berkepentingan dalam kerajaan.
Namun, beliau mengakui tidak adil untuk menyalahkan kerajaan semata-mata.
“Contohnya, Perdana Menteri arah pembekuan perolehan ATM dan PDRM berkaitan isu rasuah. Itu menunjukkan kerajaan bukan berdiam diri,” jelasnya.
Isu itu timbul susulan celahan Ahli Parlimen Beluran, Ronald Kiandee, yang membangkitkan kes cari gali mineral di Sabah, di mana hanya dua daripada 14 individu disiasat didakwa setakat ini.
Mengulas lebih lanjut, Hasan mengaitkan perkara itu dengan titah Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim yang mahu rasuah diperangi secara besar-besaran.
Namun, beliau mempersoalkan keberkesanan usaha tersebut jika masih wujud layanan istimewa terhadap golongan elit.
“Saya tidak kata ini kesilapan, tapi something wrong. Dalam satu segi kita nak perang habis-habisan, dalam satu segi kita lepaskan dengan ‘diskaun’,” katanya.
Beliau turut menyentuh isu DNAA dan NFA yang sering melibatkan pemimpin besar negara, sama ada yang masih berkuasa atau sudah tidak memegang jawatan.
Situasi itu, menurutnya, memberi tekanan kepada pegawai SPRM yang bekerja keras menyiasat kes-kes rasuah.
“Saya simpati kepada pegawai SPRM yang gigih menyiasat, tapi hasil akhirnya kadang-kadang mengecewakan,” katanya.
Pengesahan had umur: MCMC boleh kenakan denda RM10 juta kepada platform media sosial
Selepas 20 Tahun di Brunei, MP Miri bantu bapa empat anak kembali bina hidup baharu
Pengawal keselamatan dipenjara, didenda RM50,000 hina Agong di Facebook
Mahkamah sekat Papagomo sebar kandungan didakwa memudaratkan
Pelaburan palsu punca kerugian tertinggi penipuan dalam talian
[VIDEO] Anwar gesa pengundi Johor pilih kerajaan negeri sehaluan dengan Putrajaya
[VIDEO] Ada negara stesen minyak ditutup, negara Arab naikkan harga: Anwar